KUALA LUMPUR: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menganggap bukan satu tugas sukar untuk mana-mana pihak menguruskan sebuah kelab bola sepak di negara ini.
Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bagaimanapun menegaskan pengurusan kelab perlu berbelanja mengikut kemampuan berdasarkan dana yang mereka ada.
Malah, Tunku Mahkota Ismail berkata bahawa pengurusan kelab juga tidak perlu menjanjikan pencapaian terlampau tinggi, sebaliknya menetapkan sasaran yang realistik.
“Simple nak manage club. Ada 10 ringgit, belanja 7 ringgit. Perbaiki infra sikit. Ada sasaran realistik. Ini tidak, semua janji menang piala nak jadi ‘populist’. Ada 10 ringgit belanja 15 ringgit.
“Selepas itu apabila gagal bayar gaji, dari pihak pengurusan hingga ke penyokong semua salahkan badan induk FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), liga MFL (Liga Bolasepak Malaysia) dan pasukan yang juara JDT. Semua orang salah kecuali diri sendiri,” tulisnya di laman Instagram.
Semalam, Tunku Mahkota Ismail dalam kenyataan di laman Facebook JOHOR Southern Tigers menyifatkan bahawa bola sepak Malaysia sebenarnya tidak gagal, sebaliknya individu yang berada dalam bola sepak yang gagal menguruskan pasukan kepada standard diharapkan.
Tunku Mahkota Ismail berkata, kadangkala sukar untuk difahami kenapa sesetengah pihak menganggap bola sepak Malaysia sebagai gagal sedangkan JDT sudah berkembang menjadi pasukan nombor satu di Asia Tenggara dan keenam di Asia berdasarkan Opta Power Rankings.
Katanya, Malaysia juga sudah layak ke Piala Asia untuk pertama kali sejak 40 tahun dan prestasi JDT di Asia menyumbang 21.54 (68.7peratus) daripada 31.33 mata ranking MA Malaysia sejak 2015 hingga membolehkan lebih banyak kelab Malaysia menyertai pertandingan peringkat Asia.
“JDT juga muncul satu-satunya kelab Asia Tenggara yang memenangi Piala AFC (2015). JDT juga antara kelab yang mempunyai fasiliti terbaik – termasuk perubatan – di Asia yang menepati kehendak bola sepak moden.
“Ini antara pencapaian hebat yang pernah dicapai oleh mana-mana pasukan dalam Malaysia atau dalam industri bola sepak tempatan. Jadi bagaimana bola sepak Malaysia dikira gagal apabila ada satu pasukan mampu berjaya di Asia?.
“Disebabkan gaji yang tertunggak, kekurangan infrastruktur bola sepak, kekurangan pembangunan akar umbi di peringkat kelab atau pengurusan yang tidak baik? Ini semua disebabkan adanya ramai individu yang tidak berkelayakan berada dalam industri sukan.
“Bola sepak tidak gagal, ianya adalah individu dalam pasukan yang gagal mengurus dan meningkatkan standard serta mereka yang sentiasa menyokong dan bukannya memberikan tekanan terhadap kegagalan itu,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.