comscore
Tumpuan :
Nasional

Sindiket bawa masuk warga asing: Konon melancong tetapi bekerja secara haram – SPRM

Kaunter Imigresen KLIA. – Foto hiasan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Guna visa pelancong masuk ke negara ini konon untuk melancong tetapi hakikatnya bekerja secara haram di negara ini.

Itu punca utama berlaku kegiatan sindiket membawa masuk warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1) dan Terminal 2 (KLIA2) menerusi modus operandi kaunter laluan khas yang dikenal pasti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber, sindiket membayar wang rasuah dengan nilai tertentu kepada penguat kuasa seterusnya menyebabkan berlaku isu warga asing melakukan kesalahan tinggal melebihi tempoh sah, bekerja tanpa permit kerja sah dan mengelak senarai hitam dalam negara.

“Kumpulan warga asing khususnya daripada Bangladesh, Nepal, Myanmar dan beberapa negara lain datang ke negara ini tidak menggunakan sistem sedia ada.

“Sindiket ini tidak menggunakan sistem pengurusan berpusat pekerja asing (FWCMS) yang mendaftar dan memantau pekerja asing di negara ini,” katanya.

Sumber berkata, penyalahgunaan visa pelancong bertujuan untuk bekerja secara haram dikenal pasti sangat berleluasa dan membuka peluang kepada warga asing masuk bekerja di negara ini.

Tambahnya, bayaran yang dikenakan sindiket kepada kumpulan warga asing yang ingin memohon permit kerja ke negara ini adalah lebih RM6,000 sehingga RM12,000 dengan menggunakan saluran yang tidak sah.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan mengenai perkara tersebut.

Terdahulu, media melaporkan, SPRM membongkar kegiatan sindiket membawa masuk warga asing termasuk dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan dan Nepal melalui pintu masuk udara negara tanpa pemeriksaan pihak berkuasa.

Sindiket terbabit disyaki didalangi beberapa penguat kuasa sebuah agensi yang bertugas di pintu masuk negara, dengan menjadi tali barut bagi melepaskan kumpulan warga asing tiba tanpa melalui prosedur ditetapkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini