comscore
Tumpuan :
Nasional

Sindiket ‘counter setting’: Siasatan SPRM tumpu kepada syarikat milik warga Bangladesh

FOTO: NSTP

BANGI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat secara menyeluruh peranan sebuah syarikat dimiliki warga Bangladesh yang dipercayai terbabit dalam sindiket membawa masuk warga asing melalui pintu masuk negara menggunakan modus operandi ‘counter setting’.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, syarikat itu dikesan membawa masuk pekerja dari Bangladesh secara tidak sah, dengan menyamar sebagai pelancong.

“Terbaharu ada syarikat yang dimiliki oleh warga Bangladesh beroperasi di sini membawa pekerja dengan cara yang kita nampak tidak mematuhi peraturan.

“Oleh itu, kita sedang dapatkan bukti menerusi akaun syarikat berkenaan, sama ada terdapat bukti pembayaran kepada mana-mana pihak berkuasa,” katanya ditemui media selepas Majlis Perasmian Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Anti Rasuah Peringkat Kebangsaan kali ke-3 2024 di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Isnin lalu, media melaporkan SPRM menahan seorang pengarah syarikat warga Bangladesh kerana disyaki terbabit dalam sindiket membawa masuk warga asing melalui pintu masuk negara menggunakan modus operandi ‘counter setting’.

Menurut sumber, lelaki berumur 50-an itu ditahan dalam satu operasi yang dijalankan SPRM di sekitar Lembah Klang pada jam 8 malam, Ahad lalu.

Mengulas lanjut, Azam berkata, siasatan awal mendapati syarikat berkenaan tidak mempunyai sistem bagi sebarang urusan keluar masuk pekerja warga Bangladesh ke negara ini.

“Syarikat ini nampaknya tidak mempunyai apa-apa sistem di Malaysia tapi jadi orang tengah bawa pekerja ke sini. Antaranya dengan mengambil pekerja masuk ke sini dengan cara pelancong tetapi masuk ke negara ini, kemudian lesap begitu saja.

“Sukar juga untuk kita siasat. Untuk kesan dokumen mereka, berapa ramai sudah dibawa masuk. Sebab itu tindakan bawa masuk pekerja asing seperti dari Nepal, Vietnam, Indonedia serta Bangladesh perlu menggunakan sistem yang membolehkan kita menjejaki dan boleh dikesan pekerja yang masuk,” katanya.

Menyentuh penahanan ke atas 50 penguat kuasa kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket yang membawa masuk warga asing itu sebelum ini, Azam berkata pihaknya sedang melengkapkan siasatan.

“Siasatan ke atas 50 orang itu sedang disiapkan. Tunggu untuk kita umumkan sama ada ada pertuduhan atau tidak,” katanya.

Seramai 49 penguat kuasa yang ditahan sebelum ini adalah pegawai di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan seorang lagi anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini