KAJANG: Sindiket pengedaran ganja yang dipercayai aktif di sekitar Lembah Klang, lumpuh selepas empat individu berjaya ditahan dan dadah bernilai hampir RM500,000 dirampas dalam serbuan berasingan, Jumaat lalu.
Keempat-empat suspek termasuk pasangan suami isteri berusia antara 29 hingga 39 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat dan risikan dijalankan pihaknya.
“Dalam serbuan pertama pada 11.30 pagi, pasukan menahan seorang lelaki yang juga penternak udang galah dan isterinya di sebuah rumah di Semenyih, Kajang.
“Hasil pemeriksaan di dalam rumah menemui dadah disyaki ganja dianggarkan seberat 2,100 gram,” katanya dalam sidang media di IPD Kajang di sini, hari ini.
Beliau berkata, penahanan pasangan itu membawa kepada serbuan kedua pada 2.45 petang hari sama di kawasan tempat letak kereta di Semenyih, di sini.
Katanya, seorang lelaki yang juga penganggur ditahan manakala ganja dianggarkan seberat 5,274 gram dirampas.
Beliau berkata, pasukan kemudian menahan seorang lagi lelaki di sebuah rumah di kawasan sekitar dalam serbuan pada 3.30 petang.
“Hasil serbuan itu menemukan ganja mampat dianggarkan seberat 28,908 gram; bunga ganja (7,589 gram); balutan rokok berisi campuran ganja (120 gram); dan rokok elektronik berisi cecair campuran ganja (2,953 gram).
“Ujian saringan air kencing mendapati tiga suspek lelaki positif dadah jenis thc dan seorang daripadanya mempunyai tiga rekod jenayah lampau,” katanya.
Beliau berkata, keseluruhan dadah dirampas yang dianggarkan bernilai RM499,974 itu disyaki untuk pasaran sekitar Lembah Klang.
“Siasatan awal kita (polis) percaya mereka daripada sindiket yang besar dan mempunyai kaitan dengan suspek yang ditahan dalam serbuan di Damansara, Petaling Jaya, pada 6 November lalu.
“Bagaimanapun, kita masih menyiasat peranan kesemua suspek terbabit termasuk mengesan saki-baki sindiket itu,” katanya.
Katanya, hasil serbuan itu pihaknya turut menyita sebuah kereta Perodua Myvi dan wang tunai RM205 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
Beliau berkata, pasangan suami isteri direman empat hari manakala dua lagi suspek direman enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.