comscore
Tumpuan :
Nasional

Sindiket eksploitasi OKU warganegara China sebagai pengemis tumpas

Oleh: Zahir Senapiah

JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang wanita dan seorang lelaki warga tempatan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007, kerana disyaki menjadi dalang sindiket memaksa orang kurang upaya (OKU) warganegara China, bagi tujuan mengemis.

Kegiatan itu terbongkar selepas polis menyerbu 3 lokasi berasingan sekitar Bandaraya Johor Bahru (MBJB), pada 13 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat berkata, bertindak atas maklumat awam dan risikan, sepasukan polis cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Johor Bahru Selatan telah membuat serbuan di kawasan Jalan Putra, Setia Indah kira-kira jam 8.30 malam.

Hasil pemeriksaan, polis memberkas seorang lelaki Cina tempatan berumur 53 tahun bagi membantu siasatan.

Turut ditemui, seorang lelaki OKU warga China berumur 44 tahun yang dipaksa menjadi pengemis.

“Hasil siasatan lanjut, polis telah menyerbu sebuah lagi rumah di Taman Johor Jaya dan berjaya menemui seorang lagi lelaki OKU warganegara China berumur 38 tahun yang dijadikan pengemis,” katanya dalam satu kenyataan.

Hasil pandu arah lelaki berkenaan, polis berjaya menahan seorang wanita Cina warga tempatan berumur 48 tahun di Taman Seri Austin, kerana disyaki mengeksploitasi dua lelaki OKU warganegara China berkenaan sebagai pengemis.

Kes disiasat di bawah Seksyen 14, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara seumur hidup atau hukuman penjara maksima lima tahun dan sebatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini