comscore
Tumpuan :
Nasional

Sindiket ‘Gadis Kalung Bunga’ tumpas

FOTO:JIM

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: RM100 hingga RM5000 bagi satu jam bergantung kepada jenis dan bentuk kalung bunga.

Itu kadar harga bagi sindiket ‘Gadis Kalung Bunga’ yang dipercayai telah beroperasi selama dua tahun di ibu negara.

Sindiket berkenaan berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen (JIM) dalam operasi khas yang dijalankan di dua lokasi iaitu satu premis perniagaan di Jalan Pudu dan satu premis perniagaan di Jalan Changkat Thambi Dollah.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, operasi bermula pada jam 9 malam semalam melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

“Berdasarkan aduan awam dan risikan yang dijalankan selama tiga minggu, pasukan operasi telah diatur gerak ke dua premis dan menahan lima orang lelaki warga Myanmar, masing-masing seorang lelaki warga China dan Nepal, 41 perempuan warga China, tiga perempuan warga Indonesia dan seorang perempuan warga Myanmar.

“Kesemua warga asing yang ditahan berusia dalam lingkungan umur 17 hingga 60 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, dua lelaki dan seorang perempuan warga tempatan berusia lingkungan 31 hingga 50 tahun yang dipercayai sebagai penjaga premis turut ditahan menjadikan jumlah keseluruhan yang ditahan adalah seramai 55 orang.

Selain itu, pasukan operasi juga merampas 36 pasport China, satu naskhah pasport Indonesia, peralatan kamera litar tertutup (CCTV) dan wang tunai sebanyak RM13,830.

“Modus operandi sindiket adalah menyediakan perkhidmatan perempuan warga asing dengan kalungan bunga yang mempunyai harga berbeza.

“Pelanggan akan diberi pilihan untuk memilih kalungan bunga pada kadar harga bermula RM100 hingga RM5000 bagi satu jam bergantung kepada jenis dan bentuk kalung bunga tersebut,” katanya.

Datuk Ruslin berkata, transaksi bayaran yang dilakukan pelanggan adalah melalui tunai atau secara dalam talian sebelum perempuan tersebut diserahkan kepada pelanggan.

Menceritakan keadaan ketika serbuan, ujarnya, perempuan warga asing yang bekerja sebagai ‘gadis kalung bunga’ cuba melarikan diri dan bersembunyi di bawah meja.

Terdapat juga pelanggan yang cuba melakukan provokasi dengan membuat bising dan cuba menghalang pasukan melakukan penggeledahan.

Menurutnya, kesemua warga asing ditahan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-peraturan Imigresen 1966 dan Akta Pasport 1966.

Warga tempatan yang ditahan pula kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Sek.55E Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, seramai 20 lelaki warga tempatan diberikan notis untuk hadir ke pejabat JIM bagi membantu siasatan.

“JIM akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini