comscore
Tumpuan :
Nasional

Sindiket guna taktik baharu menerusi AI umpan mangsa penipuan pekerjaan

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

SEPANG : Sindiket penipuan pekerjaan antarabangsa mula menggunakan taktik baharu menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mengumpan mangsa.

Dedah Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, ia memperdayakan mangsa dengan pujukan untuk melancong, melalui imej rekaan watak wanita cantik.

“Taktik menggunakan penipuan pekerjaan scam ini sudah berubah sikit, mereka tidak lagi menggunakan tawaran kerja.

“Mereka mula mengumpan menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi memperdayakan mangsa ini dengan watak perempuan cantik.

“Mereka memancing mangsa dengan mempelawa mereka ke Bangkok, Thailand dan apabila sampai di sana mereka akan ditipu dan dibawa ke Laos.” katanya selepas menyambut kepulangan tujuh mangsa jenayah pemerdagangan itu di Sepang, Selangor, semalam, yang terperangkap di Laos kira-kira 5 bulan lalu.

Hasil sesi temubual pihaknya dengan beberapa mangsa mendapati teknologi itu turut digunakan secara meluas dalam platform media sosial yang cuba mengajak golongan muda untuk melancong ke pulau peranginan di Thailand.

Bagaimanapun tawaran itu hanya helah semata-mata bagi memperdayakan mangsa sebelum diperdagangkan oleh sindiket berkenaan yang berpindah dari Myanmar ke Laos.

Terdahulu, sewaktu menyambut kepulangan sekumpulan mangsa berkenaan, berlaku ketegangan diantara pihak NGO itu, ada diantara mangsa mendakwa mereka dibiarkan lama berada di sana tanpa bantuan oleh MHO dan hanya dibantu oleh Kedutaan Malaysia di Laos.

“Mereka cakap kita tidak tolong.” kata seorang wakil MHO.

“Pihak Kedutaan Malaysia di Laos yang tolong kami” ujar salah seorang mangsa penipuan terbabit.

“Kalau bukan MHO yang hubungi pihak kedutaan di sana, bagaimanapun kalian dapat balik ?” soal seorang wakil MHO.

Sebaliknya MHO mendakwa, pihaknya yang menerima aduan daripada pihak mangsa terlebih dahulu dan mula melakukan misi menyelamat dengan kerjasama Kedutaan Malaysia di Laos.

Ia termasuk mengeluarkan kos penginapan hotel, sebelum mangsa dibawa pulang ke tanahair.

Loading...
Terkini