comscore
Tumpuan :
Nasional

Sindiket pelaburan forex, kripto tumpas, aset lebih RM51 juta disita

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menunjukkan barangan kes pada sidang media kejayaan menumpaskan sindiket penipuan pelaburan Forex GHC dan Crytocurrency.

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

KUALA LUMPUR: Sindiket penipuan pelaburan Forex GHC dan mata wang kripto tumpas dengan penahanan lapan lelaki dan dua wanita warga tempatan.

Semua suspek ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang dari 13 hingga 21 Mei lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, menerusi siri serbuan terbabit, polis turut menyita antaranya 129 keping geran kenderaan dengan nombor pendaftaran eksklusif bernilai RM18 juta, 75 jam tangan berjenama bernilai RM10 juta, 18 kenderaan mewah pelbagai jenama bernilai RM8 juta, 203 motosikal berharga RM406,000, wang tunai RM503,000,  10 beg tangan bernilai RM90,000 dengan jumlah keseluruhan pembekuan dan penyitaan berjumlah RM51.2 juta.

Siasatan mendapati sindiket penipuan pelaburan Forex GHC dan mata wang kripto itu mula beroperasi sekitar tahun 2017 yang berpengkalan di sebuah negara asia.

“Dapat semua hasil ni, mereka datang ke Malaysia untuk cuci duit dengan cara urusan jual beli nombor kenderaan ‘single-digit’, jual beli jam tangan mewah di kedai-kedai jam di Bukit Jalil dan melaburkan wang dalam perladangan buah durian seluas 100 ekar di Pahang,” katanya dalam sidang media di Menara KPJ, hari ini.

Selain itu katanya, sindiket turut menggunakan pengurup wang tidak berdaftar bagi menukarkan mata wang kripto kepada tunai sebagai modus operandi bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Semua suspek berusia lingkungan 28 hingga 51 tahun ditahan reman tiga hingga tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini