comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Sindiket pemalsuan dokumen ‘Ofu Bhai’ tumpas


Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

PUTRAJAYA: Satu sindiket pemalsuan dokumen yang menggunakan pasport tulen yang telah tamat tempoh berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Operasi yang melibatkan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya itu berjaya menahan seorang lelaki warganegara Bangladesh yang merupakan dalang utama dikenali ‘Ofu Bhai’ berusia lingkungan 38 tahun.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, sindiket yang dipercayai beroperasi selama 2 tahun itu menawarkan pekhidmatan menyediakan pasport kepada warganegara asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan.

“Sindiket ini menggunakan pasport tulen yang telah tamat tempoh dengan meminda maklumat pada biodata serta keseluruhan dalaman pasport.” katanya pada sidang media di Putrajaya, tadi.

Datuk Ruslin berkata, sindiket itu menawarkan harga RM1,000 hingga RM1,500 untuk setiap naskah pasport.

“Sindiket ini juga menggunakan maklumat palsu yang ada pada pasport tersebut untuk mendapatkan kelulusan Fomema dengan harga RM600 hingga RM1,000 untuk setiap dokumen.” ujarnya

Dalam operasi itu juga, seorang perempuan warganegara Filipina berusia lingkungan 40 tahun yang dipercayai orang kanan kepada dalang utama itu juga turut ditahan.

Operasi itu juga berjaya merampas sebanyak 211 pasport yang terdiri daripada pelbagai negara seperti pasport Bangladesh, India, Myanmar dan Indonesia.

Turut dirampas, 144 keping dokumen Fomema, 31 helaian muka depan biodata pasport serta pelbagai peralatan untuk membuat dokumen palsu dan wang tunai sebanyak RM16,000.

Kesemua yang ditahan di hantar ke Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 55D, Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(a) Akta Pasport 1966.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini