comscore
Tumpuan :
Nasional

Sindiket penyeludupan: Empat penjawat awam direman terima rasuah lebih RM5 juta

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman empat penjawat awam kerana disyaki menerima rasuah lebih RM5 juta daripada sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan arak secara haram melalui pintu masuk negara.

Perintah reman selama empat hari bermula hari ini sehingga Jumaat ini terhadap kesemua suspek dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret di sini, pagi tadi.

Menurut sumber, keempat-empat suspek lelaki berusia lingkungan antara 40-an hingga 50-an ditahan di sekitar Lembah Klang antara jam 11.30 pagi hingga 4 petang semalam.

Mereka ditahan dalam operasi khas dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Dalam operasi yang dijalankan ini, SPRM telah menahan lapan individu termasuk empat penjawat awam yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket berkenaan sejak tahun 2018 hingga 2023.

“Setakat ini sindiket tersebut dipercayai telah menyebabkan ketirisan hasil cukai yang dianggarkan kira-kira RM400 juta dan telah memberi wang rasuah lebih RM8 juta kepada beberapa individu termasuk penjawat awam bagi menyeludup tembakau kunyah, rokok, arak serta beberapa barangan lain,” katanya.

Susulan operasi itu, AML SPRM turut merampas pelbagai barangan seperti telefon bimbit, komputer riba, komputer peribadi, wang tunai, rumah dan kereta yang dianggarkan bernilai hampir RM6 juta.

Selain itu, SPRM juga membekukan sebanyak 237 akaun bank membabitkan wang berjumlah kira-kira RM12 juta.

“Sindiket ini dipercayai menggunakan modus operandi dengan menggunakan akaun keldai bagi melakukan transaksi pembayaran wang rasuah kepada penjawat awam yang bersekongkol dengan mereka.

“Selain itu, sindiket ini juga dikesan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan akaun perniagaan ‘syarikat hantu’ melalui pengurup wang dan syarikat pinjaman wang berlesen,” kata sumber.

Pada masa sama, SPRM masih mengesan seorang lagi penjawat awam yang disyaki terlibat dalam sindiket sama.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman empat suspek berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

“SPRM juga akan memohon reman terhadap beberapa lagi suspek yang ditahan di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini