comscore
Tumpuan :
Nasional

Sindiket seleweng diesel di Sungai Petani tumpas – KPDN Kedah

Foto hiasan

ALOR SETAR: Satu sindiket penyelewengan diesel tumpas apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah berjaya menahan sebuah lori di Sungai Petani, semalam.

Pengarahnya, Affendi Rajini Kanth berkata, dalam operasi 9.50 pagi itu, pihaknya mendapati sebuah lori dua tan telah membuat pembelian minyak diesel di beberapa stesen minyak di sekitar Sungai Petani.

“Pegawai penguat kuasa yang telah mengekori lori berkenaan mendapati kenderaan itu telah membuat pembelian minyak diesel sebanyak RM200 di stesen minyak pertama, RM150 di stesen minyak kedua dan RM150 di stesen minyak ketiga sebelum ditahan pegawai penguat kuasa.

Hasil pemeriksaan menjumpai dua tangki berkapasiti 1,000 liter disambung dengan dua unit pam dan hos minyak. Pam dipasang bagi menyedut minyak dari tangki asal masuk ke tangki tambahan dan jumlah minyak disita sebanyak 232 liter dianggarkan bernilai RM500,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Beliau berkata, turut disita ialah lori berkenaan, dua unit pam minyak dan hos serta dua unit tangki dengan anggaran nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM16,500.

“Pemandu lelaki berusia 40-an telah ditahan dan direman bagi siasatan lanjut. Modus operandi ini dikesan aktif di kawasan Perindustrian Sungai Petani dan dipercayai minyak diesel tersebut dijual ke negara jiran dan juga pihak industri tempatan.

Siasatan dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. KPDN Kedah ingin memberi amaran keras dan menegaskan bahawa tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam sindiket dan aktiviti penyelewangan barang kawalan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini