comscore
Tumpuan :
Nasional

Sindiket seludup hidupan liar tumpas, 30 anak buaya dan 14 ekor kura-kura dirampas

Foto: PDRM

Oleh: Fareez Azman

PETALING JAYA: Polis berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan hidupan liar susulan penahanan seorang lelaki warga asing menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) ibu negara semalam.

Menurut Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berdasarkan maklumat dan risikan, suspek dipercayai membawa spesies hidupan liar yang terkawal dari sebuah negara di Asia Selatan.

Bagaimanapun, hidupan liar itu dibawa masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum dihantar ke negara lain.

“Menerusi operasi tersebut, Wildlife Crime Bureau, Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan hidupan liar yang membawa kepada penahanan seorang lelaki warga asing.

“Tangkapan ini juga dipercayai melibatkan sindiket penyeludupan hidupan liar yang aktif di peringkat antarabangsa.

“Hidupan liar tersebut dipercayai dibawa masuk ke dalam negara untuk tujuan transit dan akan dipindahkan ke negara lain,” jelasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Turut dirampas dalam serbuan itu, 30 ekor anak buaya julung-julung dan 14 ekor kura-kura jenis Indian Eyed Turtle bernilai lebih RM1.8 juta.

Siasatan awal mendapati, spesies tangkapan tersebut mempunyai nilai yang sangat tinggi di pasaran gelap.

“Harga jualan bagi seekor anak buaya julung-julung adalah RM60,000 manakala kura-kura Jenis Indian Eyed Turtle bernilai RM1,350 seekor.

“Secara keseluruhan bagi tempoh 1 Januari hingga 17 September, WCB/PSK telah berjaya melancarkan sebanyak 135 serbuan di seluruh negara dan menahan seramai 384 orang atas pelbagai kesalahan melibatkan penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi serta penyeludupan hidupan liar,” katanya lagi.

Nilai rampasan secara keseluruhan tambahnya, dianggarkan lebih RM420 juta bagi tempoh terbabit.

Kes disiasat di bawah Seksyen 68 (1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Seksyen 69 (1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini