Tumpuan :
Nasional

Sindiket seludup minyak masak paket bersubsidi tumpas, 15 individu ditahan – Armizan

PUTRAJAYA: Seludup minyak masak paket bersubsidi sebelum melabelkan sebagai minyak masak terpakai dan dijual kepada pihak industri dengan harga yang lebih tinggi.

Itu taktik sindiket penyeludupan minyak masak paket bersubsidi yang berjaya dibongkar dan ditumpaskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menerusi OPS TIRIS 3.0 di Selangor pada 12 November lalu.

Menurut Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, ia hasil risikan dan serbuan di dua lokasi berasingan di sebuah rumah di Taman Kajang Jaya dan premis perniagaan di Bandar Rinching, Kajang.

“Kita telah berjaya menyita sebanyak 14,340 kg minyak masak yang terhasil daripada minyak masak paket pelbagai jenama yang disimpan ditangki Intermediate Bulk Container (IBC).

“Kita juga menyita minyak masak dan pelbagai aset lain berjumlah RM429,850 kita menahan 15 orang dan Majistret Kajang telah meluluskan reman 4 hari untuk kita buat tindakan susulan siasatan,”jelasnya.

Tambahnya, hasil risikan lebih sebulan itu mendapati, sindiket terbabit telah beroperasi sejak enam bulan lalu dengan membeli minyak masak paket bersubsidi dari pelbagai pemborong.

Bagi mengaburi mata pihak berkuasa jelasnya, sindiket menggunakan lori syarikat penghantar barangan untuk membawa minyak masak terbabit ke premis pemprosesan.

“Kita dapati bahawa sindiket ini tujuan ataupun objektif adalah mendapatkan minyak masak paket bersubsidi sepatutnya di pasaran domestik dan kegunaan peniaga kecil tapi telah dipotong paket-paket itu disimpan di tangki untuk dicampur dan dijual sebagai minyak terpakai.

“Kita tahu minyak masak subsidi dijual dengan harga RM2.50 tapi apabila dijual sebagai minyak terpakai kita dapat dijual dengan harga purata RM3.80,”katanya lagi.

Hasil serbuan, KPDN telah menyita semua minyak masak terbabit termasuk tiga buah lori sebuah kereta dan beberapa dokumen perniagaan dengan nilai rampasan RM429,850.

Kesemua mereka ditahan terdiri daripada 11 lelaki warga negara asing dan empat lelaki warganegara tempatan berusia antara 25 hingga 45 tahun.

Berdasarkan pelbagai jenama minyak masak paket yang ditemui, Armizan berkata pihaknya akan menyiasat kesemua pihak yang terlibat untuk dibawa ke muka pengadilan.

“Bukan hanya mereka yang ditangkap, tapi syarikat pembungkusan ada pelbagai jenama, begitu juga rangkaian pengedaran, kita akan siasat rekod yang dikemukakan, pemborong dan peruncit semua akan disiasat untuk kita mencari dalang sindiket ini.

“Siasatan akan melibatkan Akta Kawalan Bekalan 1961 dan kita meneliti sekiranya perlu untuk siasat dibawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001),”katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pejabat KPDN di Putrajaya hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini