comscore
Tumpuan :
Nasional

Sindiket seludup warga asing: Hampir RM800,000 wang tunai dijumpai di bilik tidur pegawai Imigresen

Foto: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini membuat pendedahan mengejutkan berhubung sitaan bagi sindiket penyeludupan warga asing menggunakan modus operandi kaunter laluan khas (counter setting).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, hampir RM800,000 wang tunai dijumpai di dalam bilik tidur dua pegawai Imigresen yang terlibat dalam sindiket berkenaan.

“Sitaan wang tunai antaranya sebanyak RM518,250 kita pernah jumpai daripada pegawai Imigresen kanan gred KP22 wanita di Pahang. Wang diletakkan di dalam bagasi di bilik tidurnya.

“Turut disita RM248,443 daripada pegawai Imigresen gred KP19 lelaki yang bertugas sekarang di Melaka. Wang dijumpai di bawah katil bilik tidur utama,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.

Tambahnya, jumlah itu antara keseluruhan RM1.49 juta yang disita, selain AS$9,900 dan 5,470 baht menerusi Op Pump, Op Setting dan Op Pump 2.0 yang dijalankan masing-masing pada 20 Ogos, 29 Ogos serta 12 September lalu.

Beliau berkata, akaun bank yang dibekukan adalah sebanyak 215 akaun dengan nilai RM3,601,305.32 membabitkan 16 milik syarikat dan 84 individu yang mana 49 akaun pegawai Imigresen dan seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Foto: NSTP

SPRM turut menyita 22 unit kenderaan dengan melibatkan sembilan kereta dan 13 motosikal.

Selain itu, sebanyak 27 keping dinar emas seberat 575.75 gram dengan anggaran nilai melebihi RM200,000 disita daripada pegawai Imigresen kanan Gred KP22 di Negeri Sembilan.

Turut disita, dua jongkong emas masing-masing seberat satu kilogram dengan anggaran nilai RM720,000 dan lebih 75 utas barang kemas seperti cincin, gelang, rantai, loket serta subang selain 12 jam tangan pelbagai jenama.

“Operasi adalah hasil risikan yang dijalankan selama enam bulan oleh Bahagian Perisikan SPRM,” katanya.

Mengulas lanjut, Azam berkata, modus operandi sindiket adalah mempromosikan pakej untuk masuk ke Malaysia menerusi platform media sosial seperti Facebook, Telegram dan aplikasi media sosial lain.

Ujarnya, ejen akan menghubungi pegawai Imigresen menerusi WhatsApp untuk mendapatkan tarikh yang sesuai untuk kumpulan warga asing datang ke Malaysia sebagai pelancong dan pegawai imigresen terlibat akan memberi ‘lampu hijau’ jika tarikh berkenaan sesuai.

“Ejen atau sindiket akan memberikan butiran pasport dan gambar kumpulan warga asing yang akan tiba menerusi Whatsapp kepada pegawai imigresen terbabit dan pegawai itu akan memberikan maklumat nombor ‘kaunter khas’ yang yang perlu dituju oleh kumpulan warga asing yang tiba untuk pelepasan masuk ke Malaysia,” katanya.

Jelasnya, jumlah rasuah yang dibayar kepada setiap pegawai Imigresen yang terlibat adalah antara RM200 hingga RM2,500.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini