comscore
Tumpuan :
Nasional

Sindrom kebergantungan dalam kalangan golongan rentan perlu ditangani sebaik mungkin – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Peluncuran Simposium Kebangsaan Menoktah Kemiskinan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Oleh: Fareez Azman

PUTRAJAYA: Masalah kemiskinan tegar di negara ini hanya boleh diselesaikan dengan memerdekakan golongan rentan menerusi pelaksanaan program yang berkesan oleh kerajaan.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meskipun pelbagai inisiatif telah dijalankan kerajaan terdahulu, namun membimbangkan apabila wujud ‘sindrom kebergantungan’ dalam kalangan golongan terbabit.

“Kita harus jadikan ini satu pengajaran kerana tidak cukup resolusi, dasar dan hebahan tapi mesti program pelaksanaan.

“Kadang-kadang pelaksanaan itu disinggung, (saya) meminjam pandangan pemikir iaitu Samir Amin tentang ‘Sindrom Kebergantungan’, kita bantu tapi tidak bantu merdekakan mereka dari sudut ekonomi tapi bantu sekadar mereka hidup.

“Kemudian (golongan rentan ini) kekal bergantung kepada penguasa, jadi penguasa dapat faedah politik kerana orang ini akan survive bergantung kepada kita, ini sindrom kebergantungan,” katanya.

Tegas Anwar, perkara itu tidak wajar dibiarkan berterusan, sebaliknya kerajaan dibawah pentadbirannya bertekad mencari penyelesaian tuntas dalam membendung isu kemiskinan tegar di negara ini.

“Walaupun angka hampir dua tahun ini kemiskinan tegar fokus jumlah yang ada pada tahun 2022 (hampir) diselesaikan. Ya betul di peringkat itu kita berjaya, tapi tidak berjaya melepaskan membebaskan mereka dari sudut kemerdekaan ekonomi.

“Sebab itu kita terkait perbicaraan elit ini, minta maaf saya hujah apa yang terbuku di kalbu, macam sepertimana kita bicara soal pendidikan, ekonomi harus ada keadilan dan ada pulak katakan tidak harus ada kuota ataupun mesti ada peluang bagi terbaik (buat golongan itu),” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Simposium Kebangsaan Menoktah Kemiskinan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Hadir sama, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini