SINGAPURA: Kira-kira satu tan produk segar dan makanan proses yang diimport secara haram dari Malaysia dirampas pihak berkuasa negara ini dalam operasi bersama selama dua hari di Pusat Pemeriksaan Woodlands minggu ini.
Sepanjang operasi pada 6 dan 7 November lalu itu, pegawai dari Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menyedari terdapat percanggahan dalam konsainan yang diangkut oleh dua trak dan merujuknya kepada Agensi Makanan Singapura (SFA) untuk pemeriksaan lanjut.
“SFA kemudian menemukan hasil yang tidak diisytiharkan dan yang diisytihar dengan kurang tepat, termasuk tomato, daun bawang, salad aisberg, kubis bunga potong, dan hirisan lemon yang diimport oleh dua pengimport dalam dua trak itu.
“Semua hasil import secara haram telah dirampas,” kata SFA dan ICA dalam satu kenyataan bersama hari ini.
SFA akan menjalankan siasatan lanjut.
Di Singapura, semua import makanan mesti mematuhi peraturan SFA.
Hanya pengimport berlesen dibenarkan membawa masuk makanan ke negara ini, dan setiap konsainan mesti diisytihar serta disertakan dengan permit import yang sah.
Pesalah yang mengimport buah-buahan dan sayur-sayuran segar secara haram berdepan denda maksimum S$10,000 dan/atau penjara hingga tiga tahun.
Mereka yang mengimport buah-buahan dan sayur-sayuran yang diproses secara haram boleh didenda sehingga S$1,000, dengan denda sehingga S$2,000 bagi sabitan berikutnya. — BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.