comscore
Tumpuan :
Nasional

Sirajuddin Suhaimee dilantik Ketua Pengarah JAKIM

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menyerahkan watikah pelantikan Ketua Pengarah JAKIM kepada Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee. – FOTO: Facebook

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dilantik sebagai ketua pengarah baharu jabatan berkenaan, berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Datin Paduka Hakimah Mohd Yusoff yang memegang jawatan berkenaan sejak 21 Mac 2022. Wanita pertama menjadi Ketua Pengarah JAKIM itu kini diberi tanggungjawab sebagai Penyelaras Hal Ehwal Halal.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan pelantikan Sirajuddin, 57, salah satu usaha memperkasa penyampaian perkhidmatan hal ehwal Islam.

“Ia seiring dengan agenda reformasi perkhidmatan awam dan memperkukuh JAKIM sebagai jabatan peneraju hal ehwal Islam di Malaysia,” katanya.

Sirajuddin memulakan karier sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam pada 2 Januari 1992 dengan jawatan Penolong Pengarah (Dakwah) Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Di JAKIM, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan dan Pengarah Bahagian Pengurusan Halal, selain sebagai Setiausaha Pertama (Halal) Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra, Australia.

Sirajuddin berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Syariah & Undang-Undang) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Ijazah Sarjana Sains Teknologi Maklumat dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Selain itu, Ijazah Doktor Falsafah (Sains Komputer) dari University of South Australia (UniSA).

Shamsul Azri turut mengumumkan pelantikan Hakimah sebagai Penyelaras Hal Ehwal Halal.

Beliau bertanggungjawab mengurus koordinasi di antara JAKIM, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Halal Development Corporation (HDC), juga berkuat kuasa hari ini.

“Pelantikan ini bagi memangkin pengurusan hal ehwal halal Malaysia yang cekap dan berkesan serta diiktiraf di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berharap pelantikan baharu itu dapat memacu JAKIM ke arah mengangkat kemuliaan agama Islam dan memartabatkan jabatan itu sebagai agensi hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan yang kompetitif serta berdaya saing di persada global.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini