comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Sistem ATC LRT disahkan stabil, selamat

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Sistem kawalan tren automatik (ATC) bagi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya disahkan stabil dan selamat untuk beroperasi sepenuhnya, esok.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, ia berdasarkan analisa terhadap ujian meluas yang dijalankan pakar teknikal Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dan pihak OEM Thales Group.

 

Katanya, keputusan ujian itu membolehkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) memberi kelulusan untuk pengoperasian semula perkhidmatan LRT berkenaan yang tergendala sejak 9 November.

“Kami berterima kasih kepada Apad dengan kelulusan yang diberikan untuk menyambung operasi LRT Laluan Kelana Jaya. Kini kami boleh kembali memberi perkhidmatan sebaiknya kepada seluruh warga kota.

“Pemantauan sistem akan diteruskan bagi memastikan ia kekal stabil supaya perkhidmatan dapat dijalankan dengan selamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Azharuddin berkata, pembukaan penuh perkhidmatan itu yang lebih awal daripada jadual asal, diharap dapat mengurangkan kesulitan yang dilalui oleh pengguna pengangkutan awam.

Sementara itu, katanya, Rapid Rail mengumumkan pemberian tambang percuma untuk setiap hari sepanjang gangguan perkhidmatan kepada pengguna LRT Laluan Kelana Jaya.

Katanya, sebahagian perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya digantung selama lima hari, namun pengguna akan diberi perjalanan percuma selama tujuh hari.

“Bagi pengguna My50, mereka akan diberi tambahan perjalanan percuma selama tujuh hari apabila memperbaharui pas My50 selepas tamat tempoh. Pembaharuan boleh dilakukan bermula 21 November hingga 20 Disember nanti.

“Pengguna perlu ke mana-mana Pejabat Khidmat Pelanggan di stesen LRT, Transit Aliean Massa (MRT), Monorel dan Transit Aliran Bas (BRT) dan pegawai khidmat pelanggan akan membuat pengesahan.

“Bagi pelanggan pas My50 yang tamat tempoh antara 14 hingga 20 November ini boleh menggunakan pas seperti biasa tanpa sebarang caj. Sila pastikan sekurang-kurangnya RM5 nilai tersimpan dikekalkan di dalam pas,” katanya.

Menurutnya, pengguna kad Touch ‘n Go yang menggunakan perkhidmatan Laluan Kelana Jaya boleh menggunakan kad seperti biasa tanpa sebarang caj antara 14 hingga 20 November ini dengan syarat destinasi mula atau akhir adalah di mana-mana stesen Laluan Kelana Jaya dengan memastikan sekurang-kurangnya RM5 nilai tersimpan dikekalkan di dalam kad.

“Orang ramai yang juga pengguna token menggunakan Laluan Kelana Jaya dari 14 sehingga 20 November ini juga layak untuk menikmati tambang percuma.

“Pengguna juga perlu ke mana-mana Pejabat Khidmat Pelanggan di stesen LRT, MRT, Monorel dan BRT untuk mendapatkan token khas perjalanan sehala dengan syarat destinasi mula atau akhir adalah di mana-mana stesen Laluan Kelana Jaya,” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas kesabaran sepanjang tempoh mencabar itu dan menghargai semua pihak yang menghulurkan bantuan dan sokongan terutama Smart Selangor, MARA Liner, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan rakyat Malaysia.

“Prasarana dan Rapid Rail sekali lagi memohon maaf kepada rakyat Malaysia yang terkesan akibat gangguan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya.

“Segala usaha akan diambil bagi memastikan gangguan seumpama ini tidak akan berulang lagi,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan 16 stesen LRT dari Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park digantung operasi selama tujuh hari bermula 9 hingga 15 November. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini