comscore
Tumpuan :
Nasional

Sistem Pendaftaran Status PMKS perlu disepadu sistem lain

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Sistem Pendaftaran Status Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) perlu disepadukan bersama sistem utama lain bagi menambah baik sistem penyampaian kerajaan terutama dalam pembangunan keusahawanan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sistem berkenaan perlu disepadukan dengan Pangkalan Data Utama (PADU), pangkalan data Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan GovTech MALAYSIA antara lain untuk meningkatkan sinergi antara kementerian dan agensi kerajaan.

Menurutnya, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (SEK-MPUPK) Bilangan 2 Tahun 2024 yang dipengerusikannya, di sini hari ini.

“Kementerian dan agensi kerajaan disaran untuk sentiasa memastikan agenda pembangunan usahawan dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu kerana tindakan ini amat penting bagi memastikan tiada lagi pertindihan program berlaku, mewujudkan ketelusan yang lebih baik dalam perkhidmatan kerajaan dan mengurangkan pembaziran sumber kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, Sistem Pendaftaran Status PMKS dilaksanakan SME Corp. Malaysia bagi menambah baik usaha penyelarasan program pembangunan usahawan, selain memastikan program yang dilakukan adalah lebih bersasar kepada usahawan dan PMKS seterusnya mengelakkan ketirisan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, melalui pelaporan Pelan Tindakan Bersepadu PMKS (SMEIPA) 2023/2024, sebanyak 270 program telah dirancang untuk dilaksanakan tahun ini dengan peruntukan kewangan berjumlah RM15.11 bilion yang bakal memanfaatkan 479,350 penerima.

Kesemua program tersebut telah dirancang melalui pelbagai kementerian, agensi dan Kerajaan Negeri.

Jelasnya, secara purata sebanyak 191 program keusahawanan dan pembangunan PMKS telah dilaksanakan setiap tahun dengan komitmen tahunan berjumlah RM9.6 billion.

Pada tahun lalu, sebanyak RM15.48 bilion telah dibelanjakan ke atas 258 program.

“Saya melihat pelaporan SMEIPA sedia ada perlu dimantapkan agar dapat dijadikan sebagai rujukan utama untuk digunakan sepenuhnya oleh kesemua pemegang taruh, khususnya kementerian dan agensi yang berada di dalam ekosistem keusahawanan agar tidak berlaku lagi pertindihan pelaksanaan program PMKS di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, mesyuarat juga mengesahkan penambahan keanggotaan sedia ada bagi memperkukuh kerjasama antara kementerian dalam memperkasa pembangunan PMKS di Malaysia untuk memastikan usaha penyelarasan bagi ekosistem keusahawanan dan koordinasi program pembangunan usahawan dalam negara.

Ahmad Zahid berkata, penambahan keanggotaan tersebut membabitkan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebagai tambahan kepada Kementerian Kewangan,
Kementerian Ekonomi serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

“Saya percaya melalui penglibatan KKDW dan MITI dalam keanggotaan SEK-MPUPK, membolehkan penjajaran dan koordinasi yang lebih bersepadu bagi semua program pembangunan usahawan dan PMKS khususnya bagi menembusi pasaran global dan meluaskan capaian sehingga kawasan luar bandar,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini