comscore
Tumpuan :
Nasional

Sistem Pengurusan Antirasuah jadi panduan jabatan bawah KSM

KUALA LUMPUR: Semua jabatan dan agensi bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan menggunakan panduan dan standard Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) mengukuhkan tadbir urus serta mengenal pasti risiko rasuah dan salah guna kuasa.

Ia berpandukan standard ABMS yang akan diguna pakai Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), agensi pembiaya utama latihan kemahiran di negara ini untuk pengukuhan tadbir urus dan mengenal pasti risiko rasuah serta salah guna kuasa, terutama dalam proses kerja perbadanan berkenaan.

Inisiatif PTPK ke arah pensijilan ABMS itu dilaksanakan dengan kerjasama Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), badan pensijilan yang diakreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong

Mengumumkan demikian, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, berkata langkah dilaksanakan PTPK itu akan menjadi panduan dan seterusnya dijadikan standard kepada semua jabatan dan agensi lain di bawah kementerian berkenaan.

Katanya, pembangunan ABMS didorong prestasi cemerlang PTPK susulan hasil penarafan semula risiko yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Matlamat ini juga selari dengan kerangka Malaysia MADANI yang mengutamakan integriti dan kecekapan dalam pentadbiran awam. Pelaksanaan ABMS langkah proaktif untuk memastikan kakitangan PTPK mematuhi etika kerja dan menunjukkan komitmen tinggi terhadap pembanterasan rasuah dalam perkhidmatan awam.

“PTPK akan terus memperkasa agenda pembangunan modal insan negara selain terus komited memperkasa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dengan menyediakan pembiayaan bagi menggalakkan masyarakat untuk mengikuti bidang kemahiran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, PTPK sentiasa cakna dan memberi komitmen tinggi untuk memastikan rakyat menikmati perkhidmatan terbaik, sekali gus menyokong usaha menambah baik ekosistem TVET bagi membangunkan bakat tersedia pada masa hadapan.

Loading...
Terkini