comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Sistem pertanian pintar rekaan pelajar sekolah, gondol anugerah di pentas antarabangsa

 

Oleh: Kumaran Rajamoney

SUNGAI PETANI: Kerugian yang dialami bapa dalam pertanian menjadi inspirasi seorang remaja, Savithra Ranjeet Kumar mencambah idea bagi mencipta sebuah sistem pertanian pintar pada usia 11 tahun.

Semuanya selepas dia dan bapanya terlibat dalam satu kemalangan akibat letupan mercun pada sambutan Thaipusam pada Februari 2018, dan terpaksa mengambil masa sehingga dua bulan untuk sembuh sepenuhnya.

“Ketika dalam tempoh rawatan, tanaman diusahakan bapa musnah kerana tiada penjagaan yang sempurna dari segi pengairan dan pembajaan. Ketika itulah saya terfikir akan keperluan pembangunan teknologi bagi melakukan penjagaan tanaman tanpa kebergantungan sepenuhnya kepada tenaga manusia.”

“Idea itu kemudiannya saya adaptasi dalam rekaan yang dihasilkan setahun kemudian. Rekaan itu berjaya memenangi anugerah emas dalam Pameran Inovasi dan Reka Cipta yang diadakan di India pada tahun 2019,” katanya kepada Buletin TV3.

Idea kecil itu kini telah melalui pelbagai usaha penambahbaikan dan terpilih untuk memenangi beberapa anugerah dalam pameran di dalam dan luar negara hasil kerjasama bersama sekumpulan pelajar dibawah seliaan Kelab Inovasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim Sungai Petani.

“Sistem yang dibangunkan ini akan melakukan pengairan dan pembajaan secara automatik, tanpa perlu penglibatan tenaga manusia secara fizikal. Berbeza dengan teknologi sedia ada, sistem ini mampu mengesan waktu dimana tanah sekitar tanaman menjadi kurang lembab atau nutrisi.”

“Melalui pengesanan ini, pengairan dan pembajaan akan dilakukan secara berkala secara tepat, tanpa pembaziran. Teknologi ini tidak terhad kepada tanaman renek, sebaliknya boleh digunakan dalam perladangan, atau kebun buah-buahan,” katanya.

Rekaan ini tambahnya, turut menyokong usaha kerajaan dalam membentuk minat generasi muda dalam bidang pertanian sambil memastikan keterjaminan makanan pada masa hadapan.

Menerusi idea yang diperkemas itu, kumpulan yang turut disertai Nithila Pusparajan, Thannesaran Subramaniam dan Yugentraan Vijayan telah berjaya merangkul anugerah emas pada Hari Pereka Cipta Thailand 2024, di Bangkok baru-baru ini.

Sebuah syarikat pemula juga telah ditubuhkan bagi mengkomersialkan hasil rekaan berkenaan.

Guru Penasihat, Mahamad Hamid melihat kejayaan itu adalah selaras aspirasi Kementerian Pendidikan (KPM) yang mahu pelajar mendapat pendedahan ilmu dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Kejayaan ini akan memberikan pendedahan kepada pelajar lain, sekaligus menarik minat mereka untuk turut sama dalam program STEM. Dengan kerjasama bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru, saya yakin lebih ramai bakat baharu dapat dilahirkan.”katanya.

Justeru, pelajar dan guru mengharapkan kejayaan yang dicapai ini akan dapat ditambahnilai menerusi kerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Insitusi Pengajian Tinggi (IPT).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini