Tumpuan :
Nasional

Siti Fairuz, Ping Chek terima Anugerah Pelajaran DiRaja

Siti Fairuz bersama ibu, Siti Fatihah dan bapanya, Ejahar selepas menerima Anugerah Pelajaran DiRaja sempena Istiadat Konvokesyen UPSI Ke-26. (Foto ihsan UPSI)

TANJONG MALIM: Bergiat aktif sepanjang pengajian bukan halangan mencapai kecemerlangan akademik bagi dua graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Siti Fairuz Rohaliza Ejahar dan Tay Ping Chek sekali gus dinobatkan penerima Anugerah Pelajaran DiRaja sempena Istiadat Konvokesyen UPSI Ke-26.

Siti Fairuz dan Ping Chek menerima anugerah itu daripada Canselor UPSI, Tuanku Zara Salim pada sesi pertama di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah semalam.

Siti Fairuz, 25, yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Psikologi dengan Kepujian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.89 ditemani ibu, Siti Fatihah, 65, dan bapanya, Ejahar, 67, yang menjadi kekuatannya sepanjang pengajian.

Anak kelahiran Batu Arang, Rawang, Selangor itu memilih bidang psikologi dengan harapan untuk memberi impak positif sumbangannya kepada masyarakat, khususnya dalam meningkatkan kesedaran empati.

Sepanjang pengajiannya, beliau turut terbabit aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum di peringkat kolej kediaman dan program kepimpinan, antaranya sebagai Pengarah Program Malaysia Book of Records untuk UPSI Leaders Colloquium 2023.

Meskipun menghadapi cabaran mengimbangi akademik dan komitmen kokurikulum, Siti Fairuz berjaya mengharungi semua dengan dedikasi tinggi dan sokongan kuat dari keluarga, rakan-rakan serta para pensyarah.

Gambar 2: Tay Ping Chek bersama ibunya, Chen Kim Yoong (kiri) selepas dianugerahkan Anugerah Pelajaran DiRaja sempena Istiadat Konvokesyen UPSI Ke-26 oleh Tuanku Zara. (Foto ihsan UPSI)

Selain Anugerah Pelajaran Diraja, Siti Fairuz juga meraih pelbagai penghargaan sepanjang tempoh pengajiannya seperti Felo Perdana kepada Menteri Kanan Pendidikan, Pengarah Program Malaysia Book of Records, dan Anugerah Kepimpinan Kolej Kediaman Universiti Awam Malaysia (Kategori Perak).

Siti Fairuz yang pernah terpilih dalam program Pelayaran Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) pada 2023 berkata, zaman universiti adalah masa terbaik untuk meneroka pelbagai aktiviti dan belajar pelbagai perkara sebagai bekalan diri sebelum menamatkan pengajian.

“Perasaan saya bercampur antara sebak dan bangga. Anugerah ini adalah untuk ibu bapa saya, yang sentiasa menjadi kekuatan saya. Kejayaan ini adalah kepuasan terbesar buat saya.

“Jangan pernah takut untuk terus berusaha, kerana setiap cabaran yang datang adalah peluang untuk kita berkembang menjadi individu yang lebih baik,” pesan Siti Fairuz sebagai nasihat kepada pelajar-pelajar lain yang ingin mengejar kejayaan.

Sementara itu, Ping Chek, 24, yang juga menerima Anugerah Pelajaran DiRaja, berjaya menamatkan pengajiannya dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Matematik) dengan Kepujian dan PNGK 3.94.

Selain memperlihatkan kecemerlangan dalam bidang akademik, Ping Chek turut aktif dalam pelbagai aktiviti kokurikulum, termasuk menjadi pemimpin dalam beberapa program kebajikan dan pendidikan.

Ping Chek yang bapanya sudah meninggal dunia pada 2016 dan kini dibesarkan oleh ibunya, Chen Kim Yoong, 51, seorang pekerja kilang jahitan di Batu Pahat tidak menjadikan itu sebagai halangan untuk mencapai kejayaan.

Justeru, sepanjang pengajian Ping Chek bekerja sambilan di bawah Skim Pelajar Bekerja di Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) untuk menampung perbelanjaan hariannya di kampus.

Beliau berjaya mengekalkan prestasi tinggi dalam kedua-dua bidang akademik dan kepimpinan di universiti.

“Anugerah ini adalah simbol usaha keras saya dan sokongan keluarga saya. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada setiap orang yang telah membantu saya sepanjang perjalanan ini,” ujarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini