Tumpuan :
Nasional

Situasi banjir 4 negeri semakin pulih, sumbangan kepada mangsa dipergiat

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Situasi banjir di empat negeri kini semakin pulih apabila mencatatkan penurunan mendadak setakat 8 pagi tadi.

Menurut kemas kini terkini di Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 433 mangsa daripada 123 keluarga kini ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) yang melibatkan empat negeri

Perak mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 220 mangsa daripada 68 keluarga dan ditempatkan di dua PPS dalam daerah Manjung dan Perak Tengah.

Sementera di Terengganu mencatatkan 80 mangsa daripada 16 keluarga yang kini berteduh di dua buah PPS di Kemaman.

Di Johor, dua PPS dibuka yang menempatkan 85 mangsa daripada 26 keluarga dalam daerah Segamat.

Manakala, Pahang merekodkan 48 mangsa daripada 13 keluarga dan ditempatkan di 4 PPS dalam daerah Bera dan Temerloh.

Sementara itu, sumbangan kepada mangsa banjir yang terjejas di seluruh negara giat dilakukan.

Semalam, Kerajaan Amerika Syarikat (AS) melalui Agensi Pembangunan Antarabangsa AS (USAID) menyalurkan sumbangan berjumlah RM442,817 (US$100,000) bagi menyokong usaha bantuan kepada mangsa banjir di Malaysia.

Bantuan itu disalurkan menerusi Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia untuk menyediakan barangan keperluan dan perkhidmatan penting kepada komuniti yang terjejas.

“Doa kami bersama mereka yang terkesan akibat banjir yang dahsyat di Malaysia. Bersama Kerajaan Malaysia, kami komited untuk membantu komuniti pulih dan membina semula,” menurut Kedutaan AS di Kuala Lumpur menerusi hantaran di Facebook.

USAID turut merakamkan penghargaan kepada pasukan penyelamat yang bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa dan melindungi golongan rentan.

Sementara itu, Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) turut tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di pantai timur.

Presidennya Datuk Azman Yusoff berkata PKBM yang terdiri daripada kontraktor G1 hingga G7 memberi sumbangan barangan elektrik seperti kipas dan lampu kepada Jabatan Kerja Raya Kelantan yang akan digunakan bagi membaik pulih sekolah-sekolah yang terjejas akibat banjir.

“Diharap dengan sumbangan ini sedikit sebanyak sekolah-sekolah yang menghadapi masalah terutama dari segi lampu dan kipas dapat diselesaikan dapat memberi keselesaan kepada anak-anak kita untuk bersekolah nanti ” katanya dalam satu kenyataan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini