Tumpuan :
Nasional

Situasi banjir di 7 negeri makin baik, mangsa di PPS turun kepada 50,765

Pemandangan udara beberapa kampung di Tumpat yang terjejas banjir berikutan limpahan air dari Sungai Golok. – FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Situasi banjir di tujuh negeri termasuk Pantai Timur makin reda dengan bilangan mangsa banjir keseluruhan berkurangan kepada 50,765 orang daripada 15,559 keluarga di 186 pusat pemindahan banjir (PPS) setakat jam 7.30 pagi ini.

Di Kelantan, bilangan mangsa banjir juga berkurangan kepada 35,075 mangsa membabitkan 11,152 keluarga itu ditempatkan di 88 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah.

Berdasarkan Info Bencana Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sehingga kini daerah yang masih dilanda banjir adalah Pasir Mas merekodkan 15,491 mangsa diikuti Tumpat 19,140 mangsa, Kota Bharu membabitkan 403 mangsa dan Bachok hanya 41 mangsa.

Di Terengganu, tujuh daerah masih dilanda banjir membabitkan 8, 305 orang daripada 2,117 keluarga di 41 PPS manakala di Kedah 5,976 orang daripada 1,883 keluarga di 27 PPS di tiga daerah.

Di Johor pula, 1,033 mangsa banjir daripada 296 keluarga masih ditempatkan di 18 PPS di dua daerah sementara di Perak, dua daerah dilanda banjir dengan 165 orang daripada 58 keluarga di enam PPS.

Sementara itu, keadaan banjir di Melaka juga semakin pulih dengan hanya satu daerah yang terjejas membabitkan 160 orang daripada 41 keluarga di dua PPS manakala di Pahang empat PPS masih dibuka di tiga daerah dengan 51 mangsa daripada 12 keluarga.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini