comscore
Tumpuan :
Nasional

SK Limau Kasturi 1 hias sekolah dengan lebih 100 pelita

GUA MUSANG: Lebih 100 pelita dipasang sekitar Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi 1, di sini, semalam.

Usaha itu adalah hasil kerjasama guru-guru, kakitangan sekolah dan ibu bapa bagi menggamit kembali memori malam tujuh likur.

Guru Besar SK Limau Kasturi 1, Noorzilawati Ab Rahim berkata sambutan malam tujuh likur menjadi acara tahunan sekolah terbabit untuk meraikan guru, kakitangan sekolah dan ibu bapa selain murid sekolah itu.

Katanya, pada tahun ini sambutan lebih meriah apabila mereka bekerjasama memasang lebih 100 pelita selain lampu hiasan untuk menerangi kawasan sekolah.

“Sudah pasti malam ini kita juga kami meraikan murid-murid sekolah ini terutama murid yang tinggal di asrama yang tidak dapat bersama keluarga mereka.

“Kita buat program macam ini sedikit sebanyak memberi satu ingatan kepada anak-anak sambutan malam tujuh likur yang sangat meriah suatu masa dulu.

“Kalau dulu di kawasan kampung malam tujuh likur disambut dengan meriah dengan pemasangan pelita di sekeliling rumah, namun kini sangat jarang dibuat,” katanya ketika ditemui di SK Limau Kasturi 1, di sini, semalam.

Manakala bagi seorang guru, Khairuddin Othman, 35, berkata aktiviti memasang pelita dan menghias dewan dilakukan dengan kerjasama 30 guru lelaki dan penduduk kampung.

“Aktiviti memasang pelita dan menghias dewan sekolah ini juga secara tidak langsung mengeratkan silaturrahim antara kami dan komuniti di sini.

“Semua kerja dilakukan dengan mudah apabila mendapat kerjasama daripada semua pihak.

“Kami harap program ini dapat diteruskan pada tahun yang akan datang bagi mengeratkan silaturrahim antara kami warga kerja di sekolah ini dan komuniti di Kampung Limau Kasturi,” katanya.

Loading...
Terkini