Tumpuan :
Nasional

Skandal rasuah ADUN Sabah: SPRM panggil bekas CEO Sabah Mineral Management

FOTO: NSTP

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM), Jontih Enggihon dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan laporan salah laku terhadap beliau.

Perkara itu disahkan Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika ditanya laporan yang mendakwa Jontih sudah dipanggil untuk siasatan kes yang dikaitkan dengannya.

“Ya, sah, dia sudah dipanggil,” katanya dalam maklum balas ringkas kepada media, namun enggan mengulas lanjut berhubung siasatan SPRM.

Difahamkan, Jontih dipanggil untuk memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Sabah, di sini, petang semalam dan disambung lagi pada pagi ini.

Menerusi satu kenyataan semalam, CEO SMM yang baharu, Natasha Sim menyatakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah itu mengambil tindakan undang-undang berikutan penemuan salah laku membabitkan Jontih.

Katanya, siasatan dalaman syarikat mengesan pelanggaran tugas fidusiari dan dakwaan aktiviti penipuan dilakukan bekas CEO terbabit, selain berlaku penyampaian maklumat yang salah kepada lembaga pengarah SMM sepanjang mengetuai syarikat berkenaan.

Sebagai tindak balas kepada penemuan itu, katanya SMM membuat laporan rasmi kepada SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut agensi penguat kuasa itu.

SMM yang mengurus hal ehwal mineral di Sabah menjadi perhatian selepas pendedahan satu video di sebuah portal berita, baru-baru ini, yang memaparkan temubual Jontih berhubung perkara yang berlaku dalam isu mineral ketika beliau menjadi CEO sehingga tamat kontrak pada Ogos lalu.

Ia berkaitan dakwaan skandal rasuah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam kerajaan Sabah yang kini dalam proses siasatan SPRM.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini