comscore
Tumpuan :
Nasional

SMK Tunku Ampuan Najihah terima pelajar lelaki selepas 56 tahun

Aminuddin Harun (kiri) menyambut pelajar lelaki yang menjadi perintis sekolah seni Negeri Sembilan atau ‘Noghori Arts School’ di SMK Tunku Ampuan Najihah, Seremban hari ini. Foto Mohd Amin Jalil. FOTO: NSTP

SEREMBAN: Buat julungkalinya selepas 56 tahun, Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Ampuan Najihah (SMKTAN), di sini, menerima pelajar lelaki apabila ia menjadi sekolah seni pertama di Negeri Sembilan mulai hari ini.

Selama ini, SMKTAN yang mula beroperasi pada tahun 1968 hanya mengambil pelajar perempuan.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Datuk Dr Roslan Hussin, berkata penubuhan SMKTAN sebagai sekolah seni pertama di negeri ini adalah bagi memberi peluang ramai pelajar yang berbakat dalam bidang seni menimba ilmu serta kemahiran sesuai dengan minat mereka.

Beliau berkata, sekolah seni seperti ini terdapat di beberapa negeri lain di negara ini namun dilaksanakan dalam pelbagai bentuk.

“Dalam konteks Negeri Sembilan, ia dilihat terdapat keperluan untuk menubuhkan sekolah seni kerana bakat-bakat yang ada di negeri ini terlalu ramai sama ada dari sekolah kebangsaan (SK) mahupun sekolah menengah (SM).

“Selain itu, Negeri Sembilan memiliki identiti sebagai negeri beradat, yang mempunyai pelbagai budaya yang perlu kita tonjol dan kekalkan supaya ia dapat terus diwarisi generasi akan datang.

“Justeru, kita merasakan sudah sampai masanya Negeri Sembilan mempunyai sebuah sekolah yang memberi fokus kepada kesenian di samping mengekalkan pencapaian akademik lain,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Pendaftaran Pelajar Tingkatan Satu SMK Tunku Ampuan Najihah sebagai pelajar perintis Sekolah Seni Negeri Sembilan atau “Noghori Arts School’ di sekolah itu, hari ini.

Majlis disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan hadir sama, isteri menteri besar, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof; Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Seremban, Norazam Nayan dan Pengetua SMKTAN, Norhayati Abdul Rahman.

Roslan berkata, seramai 80 pelajar lelaki dari pelbagai bangsa termasuk Orang Asli (OA) menjadi perintis sekolah seni berkenaan daripada keseluruhan 300 permohonan yang diterima.

Menurutnya, keutamaan diberikan kepada pelajar yang menetap di Negeri Sembilan walaupun permohonan diterima dari negeri lain seperti Selangor, Melaka dan Kuala Lumpur.

Katanya, sebuah bangunan asrama empat tingkat sudah diperuntukan khas bagi menempatkan 80 pelajar lelaki berkenaan.

FOTO: NSTP

Menurutnya, dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, SMKTAN mencatatkan penurunan ketara kemasukan pelajar sehingga lebih 10 peratus dan dengan penubuhan sekolah seni ini, segala kemudahan bangunan sekolah dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

“Langkah menubuhkan sekolah seni ini juga adalah untuk meneutralkan semula suasana pembelajaran di sekolah ini iaitu ada pelajar lelaki dan perempuan, jadi dengannya proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) itu akan berkembang lebih baik dalam melahirkan pelajar yang cemerlang,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini