comscore
Tumpuan :
Nasional

Solidariti kepada rakyat Palestin, perlu dibuat atas asas kebenaran, ilmu & akhlak – Na’im

Oleh: Juliana Sharin

PETALING JAYA: Apa jua tindakan yang diambil termasuk kempen solidariti kepada rakyat Palestin perlu dibuat atas asas kebenaran, ilmu dan akhlak.

Seruan itu dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, agar semua pihak tidak mengambil tindakan ekstrem kepada mana-mana pihak.

Apatah lagi katanya yang melibatkan fitnah, mencaci, maki hamun, ugutan dan sebagainya.

“Semua pihak adalah diseru untuk sentiasa menjaga keharmonian dalam bermasyarakat,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurutnya lagi, apa-apa tindakan yang boleh mengundang keresahan awam adalah perlu dielakkan sama sekali.

Jelasnya dalam isu Palestin, beliau percaya semua pihak memahami bahawa kekejaman yang dilakukan pihak Zionis Israel terhadap rakyat Palestin adalah tidak boleh diterima sama sekali.

Tindakan yang dilakukan pihak Zionis Israel amat biadap, melampau serta di luar batas kemanusiaan.

Justeru atas asas kesatuan dan ihsan, semua pihak adalah diseru untuk bersolidariti dengan rakyat Palestin melalui pelbagai pendekatan tersendiri termasuk mendoakan kekuatan dan kesejahteraan kepada Palestin.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini