
Oleh: Fatin Hanani Sahimi
PETALING JAYA : Usaha kerajaan mewajibkan prosedur operasi standard (SOP) pengendali taska dan tadika menghubungi ibu bapa jika anak mereka tidak hadir, disambut baik oleh pengusaha taska.
Malah tinjauan mendapati ada pengusaha taska yang sudah mewajibkan SOP berkenaan di premis mereka.
Namun, pengusaha berkenaan berpendapat, ibu bapa perlu sedar akan peranan asal mereka untuk melindungi anak-anak serta memastikan insiden anak tertinggal dalam kenderaan dapat dielakkan.

Bagi Pengusaha Taska, Yiew Tian Tian,semua pihak perlu mengambil tanggungjawab bersama termasuk ibu bapa, kerana jika tanggungjawab berkenaan hanya diletakkan kepada pengusaha tadika atau taska, ia memberi cabaran dalam kaedah pelaksanaannya.
“Secara amnya, saya fikir ia adalah SOP yang baik, tetapi tanggungjawab utama harus kepada ibu bapa untuk memastikan anak-anak atau bayi tidak ditinggalkan di dalam kereta.
“Ada masa taska dan tadika juga mempunyai cabaran untuk terus berhubung dengan ibu bapa kerana jadual yang sangat padat di pusat penjagaan.
“Namun begitu, adalah tidak adil untuk menyaman atau menjadikan ia sebagai tanggungjawab taska sekiranya kejadian sebegitu berlaku pada masa hadapan,“ katanya kepada Buletin TV3.

Sementara itu, Presiden Persatuan Taska Negeri Selangor, Mahanom Basri berpendapat, usaha berkenaan perlu diteliti dan dibincangkan bersama oleh kementerian dengan sebaiknya.
“Pihak taska mempunyai banyak bebanan tugas yang sedia ada, mereka perlu membuat pemeriksaan fizikal kanak-kanak pada waktu pagi, memastikan bahawa peralatan kanak kanak mencukupi, anak dalam keadaan yang sihat.
“Apabila ditambah dengan bebanan tugas ini, pihak taska merasakan ini perkara yang patut diberikan penelitian dan perbincangan semula,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang bapa, Mohd Norhamdan Rosli, 32, yang ditemui berpendapat, SOP berkenaan dilihat dapat membantu mengelak kecuaian anak tertinggal dalam kenderaan pada masa depan.
“Cadangan ini adalah langkah yang terbaik, sebab kita faham apabila isu kecuaian sering kali berlaku, alangkah baiknya jika pihak yang terlibat seperti taska juga sama-sama membantu untuk mengingatkan ibu bapa supaya menghantar anak anak mereka ke taska, justeru kecuaian ini tidak lagi menjadi sesuatu yang normal.”
“Penjagaan terhadap kebajikan anak-anak tidak hanya berada pada tanggungjawab ibu bapa semata-mata, namun semua pihak perlu berganding bahu menangani isu yang semakin meruncing ini,” ujarnya.
Terdahulu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, langkah itu dilaksanakan susulan kekerapan kes kanak-kanak maut selepas ibu bapa terlupa dan meninggalkan mereka di dalam kereta.
Tambahnya, pengendali taska dan tadika perlu mendapatkan nombor telefon tambahan kalangan ahli keluarga kanak-kanak selain ibu bapa bagi membolehkan tindakan segera diambil bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.