comscore
Tumpuan :
Nasional

Sorok lebihan diesel bersubsidi nelayan untuk diseludup ke Thailand

Penguat kuasa KPDN Kelantan memeriksa tong plastik berisi diesel bersubsidi dalam serbuan di sebuah jeti membaiki bot nelayan di Kampung Tanjung Che Mas – Foto ihsan KPDN Kelantan

TUMPAT: Kegiatan menyorok diesel di jeti membaiki bot nelayan di Kampung Tanjung Che Mas di sini untuk diseludup ke Thailand berjaya dibongkar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Jeti itu digunakan sebagai lokasi transit diesel menggunakan tong plastik sebelum diangkut ke negara jiran itu menerusi Sungai Golok.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, pihaknya merampas 3,150 liter diesel dalam serbuan bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor pada jam 7 malam kelmarin.

“Ketika serbuan, kami mengesan sebuah van yang diparkir bersebelahan sebuah jeti tempat membaiki bot nelayan yang digunakan sebagai tempat penyimpanan transit barang kawalan itu.

“Pemeriksaan lanjut menemui sejumlah tong plastik yang mengandungi 3,150 liter minyak diesel dalam van serta pondok berhampiran yang disyaki untuk diseludup ke negara jiran.

“Hasil pemantauan yang dibuat, kita dapati sebuah pondok buruk di kawasan itu dijadikan tempat transit yang mengumpulkan lebihan diesel dari bot nelayan sebelum diangkut oleh sindiket ke sempadan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun tiada individu ditahan dalam serbuan itu dan barang sitaan dirampas untuk siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Loading...
Terkini