comscore
Tumpuan :
Nasional

SPAC bakal jadikan Sarawak pentas seni persembahan antarabangsa 

KUCHING: Pembinaan Pusat Seni Persembahan Sarawak (SPAC) dengan peruntukan hampir RM250 juta bukan sahaja dapat menjadikan Sarawak sebagai pentas seni persembahan antarabangsa malah turut melonjakkan sektor industri kreatif, pelancongan dan perkhidmatan negeri berkenaan.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, berinspirasikan Royal Albert Hall Di London, pusat tersebut mensasarkan untuk mengetengahkan persembahan daripada pelbagai cabang penggiat seni kreatif tempatan dan antarabangsa untuk membuat persembahan.

Katanya, kehadiran penggiat seni atau artis-artis terbabit secara tidak langsung akan menarik kehadiran peminat dan pengikutnya untuk menyaksikan setiap persembahan artis terlibat di lokasi-lokasi terpilih sekaligus memberi pusingan ekonomi kepada perkembangan industri kreatif, pelancongan dan perkhidmatan.

“Penggiat seni ini mempunyai pengikut dan peminat dia dan peminat mereka ini boleh datang ke sini (Sarawak) untuk menyaksikan persembahan mereka.

“Kehadiran peminat-peminat ini membuka peluang untuk kita menguatkan lagi industri pelancongan kerana waktu itu kita sudah ada kapal terbang sendiri.

“Jadi ini adalah salah satu infrastruktur kita untuk menggalakkan dan melonjakkan industri pelancongan dan perkhidmatan di Sarawak dan apa yang perlu lakukan ialah tempatkan ia di dalam kawasan utama lingkungan pelancongan di Kuching ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Pelancaran dan Penyerahan Tapak Pusat Seni Persembahan Sarawak di Kuching.

Menurut Abang Johari, selain menarik penglibatan penggiat seni dari luar, pusat terbabit juga boleh dimanfaatkan sebagai platform untuk penggiat seni tempatan mempamerkan bakat-bakat seni menerusi persembahan-persembahan teater atau konsert-konsert tertentu.

Sarawak ujar beliau mempunyai banyak kisah-kisah legenda yang boleh diketengahkan dan kewujudan pusat terbabit membuka ruang untuk bakat-bakat baharu ini mempamerkan kebolehan mereka bukan sahaja di pentas tempatan malah juga di pentas antarabangsa.

Namun begitu tegasnya, penyediaan kemudahan dan fasiliti yang setanding dengan Royal Albert Hall dan American Performing Arts Center perlu dibina terlebih dahulu bagi menarik minat penggiat seni kreatif membuat persembahan di dewan terbabit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini