Tumpuan :
Nasional

SPAN kesan elfluen minyak, gris dilepaskan di lurang pembentung di Taman Industri Alam Jaya

KUALA SELANGOR: Suruhajaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) hari ini mengesan efluen mengandungi minyak dan gris dipercayai dilepaskan oleh pihak tidak bertanggungjawab di beberapa lurang kumbahan milik Indah Water Konsortium (IWK) di Taman Industri Alam Jaya, Puncak Alam di sini hari ini.

Menurut Pengarah unit Penguatkuasaan SPAN, Ainal Yusman Mohamad Yusop, pemeriksaan itu dilakukan selepas pihak berkuasa tempatan menerima aduan daripada orang awam berkaitan perkara itu.

“Kalau ikutkan kita terima 6-7 aduan dan ada juga telah dibuat tindakan awal, ada yang telah dilaporkan kepada pihak Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

“Kita dapati di sini salah satu tempat paling teruk (tercemar),” jelasnya.

Buletin TV3 yang mengikuti operasi terbabit mendapati bau seakan-akan Diesel dapat dihidu apabila beberapa lurang kumbahan dibuka anggota IWK.

“Satu pemeriksaan pada saluran pembentungan, kita dapati terdapat saluran-saluran yang diisi secara tidak betul dengan minyak dan gris dan sebatian minyak Diesel dalam saluran tersebut.

“Sekitar kawasan kilang roti kawasan pembentungan ada bahan-bahan efluen dilepaskan secara berlebihan, jadi secara am pelepasan itu boleh menyebabkan kesumbatan menyebabkan masalah di proses di loji dan sebagainya,” katanya.

Pihaknya turut menjalankan pemeriksaan di dua premis, iaitu premis pemprosesan roti dan simen di sekitar kawasan terbabit.

Bagaimanapun, pemeriksaan tidak menemui sebarang tanda perlepasan efluen ke lurang kumbahan berhampiran.

“Sampel yang kita ada kita bawa ke Jabatan Kimia untuk penilaian dan analisa, kita tengok apa tindakan selanjutnya daripada itu dan rekod kawasan ini adalah hotspot.

“Kita tak dapat menyasarkan siapa yang bersalah sebenar, apa kita buat hari ini mencegah dan sebaran awam bahawa perbuatan mereka dibawah pemantauan IWK dan SPAN.

“Jika berlaku lagi kita tidak akan teragak agak terus ambil tindakan,” katanya lagi.

Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali dibawah Seksyen 61(1)b) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini