Tumpuan :
Nasional

Speaker Dewan Rakyat sahkan terima usul pembentangan laporan RCI

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada sidang media selepas Majlis Perasmian Seminar Potensi Industri Lembu Hibrid Pedaging Malaysia 2024, di Parlimen.

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan beliau sudah menerima dan meluluskan usul pembentangan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, laporan itu dijangka dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said minggu depan.

“Insya-Allah menteri akan bentangkan minggu depan sebelum berakhir sesi persidangan, 12 Disember, saya sudah dapat usul dan edaran laporan juga telah dibuat, ia diletakkan di meja semua Ahli Parlimen”

“Kita juga berharap ia akan dibahaskan dan media harus melaporkannya supaya rakyat tahu apa yang berlaku dan dari situ kita akan lihat ‘what’s next’,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Seminar Potensi Industri Lembu Hibrid Pedaging Malaysia 2024, di Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Datuk Seri Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang menerusi satu kenyataan memaklumkan, laporan RCI terbabit sudah diedarkan kepada Ahli Parlimen dan ia akan dibahas Khamis depan di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, beliau berkata, perbahasan berhubung laporan RCI berkenaan bergantung kepada Aturan Urusan Mesyuarat pada hari terbabit.

Dalam perkembangan berkaitan, Tan Sri Johari memaklumkan, buat masa ini beliau tidak boleh mendedahkan kandungan laporan itu, memandangkan ia belum dibentangkan menteri yang terbabit.

“Walaupun laporan itu sangat sulit tetapi ada setengah daripada maklumat itu kita sudah ‘declassified’ ”

“Kita pun tak tahu apa akan berlaku tetapi menteri ada perancangannya. Apa yang penting kita tunggu pembentangannya,” katanya.

Ditanya sama ada beliau sudah menetapkan pembentangan laporan itu pada Khamis depan, Tan Sri Johari berkata, ketika ini, jadual Aturan Urusan Mesyuarat masih belum dimuktamadkan.

Semalam, laporan RCI setebal 217 muka surat diedarkan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Ia termasuk syor iaitu siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini