KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul setuju dengan cadangan supaya undang-undang yang memberi kekebalan kepada Ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat dipinda dan ditambah baik.
Bercakap pada sidang media hari ini, beliau menjelaskan pindaan itu wajar bagi memastikan Ahli Parlimen menjadi lebih bertanggungjawab khususnya ketika berbahas di Dewan Rakyat dengan tidak mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah, hasutan dan sebagainya.
“Saya sangat setuju kerana saya ikut banyak persidangan dalam dunia ini, banyak isu politik tidak dimainkan sangat (di luar negara). Mungkin mereka berdepan isu subsentif, namun perjalanan debat (perbahasan) itu nampak matang.
“Tapi kita kadang-kadang gunakan isu subsentif itu sebagai platform kita berpolitik. Itu yang nampak tak cantik,” katanya selepas hadir pada majlis penutup Program Libat Urus Mesyuarat Ketiga Sidang Dewan Rakyat bersama media di Parlimen.
Justeru, beliau meminta Ahli Parlimen baik kerajaan dan pembangkang menjadikan pentas Parlimen untuk membahaskan isu yang boleh memberikan kepentingan kepada rakyat.
“Itu sebab kita kena move-lah (berubah) dan sudah tentu, ia bukan keputusan popular (jika pindaan itu dibuat), tapi saya rasa kita move-lah. Fizikalnya kita rasa ok, tapi nampak karakter (sikap tertentu Ahli Parlimen) itu ada yang tak berapa cantik,” katanya.
Terdahulu, Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Datuk Dr Shamrahayu A Aziz dalam sesi forum pada majlis sama mencadangkan undang-undang yang memberi kekebalan kepada Ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat dipinda dan ditambah baik.
Katanya, ia bagi membolehkan individu atau pihak termasuk Ahli Parlimen yang difitnah oleh mana-mana Ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat boleh membawa kes ke mahkamah untuk mendapat pengadilan.
Dalam sidang media itu, Johari juga memberitahu Parlimen akan mengadakan hari tanpa gula pada setiap Rabu sepanjang tempoh persidangan Dewan Rakyat yang bermula 14 Oktober ini.
“Sebab kita mahu amalkan gaya hidup masyarakat yang lebih sihat. Sebab kita lihatlah sebelum ini di (Dewan Undangan Negeri (DUN)) Mahkota dan banyak lagi. Jadi kita bimbanglah.
“Bila berlaku musibah (wakil rakyat sakit dan uzur), dia akan melibatkan banyak orang. Yang lebih penting rakyat terkesan akibat daripada ketidakmampuan wakil rakyat untuk berfungsi dengan baik.
“Kita harap wakil rakyat juga faham. Dia jadi wakil rakyat bukan sebab dia, tapi juga (untuk selesai) masalah rakyat. Kalau dia kena (sakit) bukan masalah dia saja, tapi ribuan yang memilih dia juga terkesan,” katanya.
Menyentuh Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA) bagi memberi kuasa autonomi kepada pentadbiran dan kewangan Parlimen, Johari mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa ia akan dibentang pada sidang akan datang.
“Saya rasa dalam sidang kali ini (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri) Azalina (Othman Said) akan bentangkan.
“Saya menyeru semua Ahli Parlimen menyokong Rang Undang-Undang (RUU) ini. Ia begitu penting untuk tunjukkan kepada dunia akan pengasingan kuasa dan Parlimen tidak diletak dibawah mana-mana jabatan,” katanya.
Dengan penggubalan akta itu katanya, Parlimen boleh mengurus tadbir kewangannya sendiri selain boleh memgambil kakitangannya sendiri.