comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] SPM 2023: Banduan peroleh keputusan cemerlang 8A

 


Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah 

MARANG: Walaupun berada di sebalik tirai besi, dua banduan dari Sekolah Integrasi Marang membuktikan tiada halangan untuk berjaya.

Aiman, 20 tahun, bukan nama sebenar, gagal menahan sebak sebaik menerima keputusan cemerlang 8A dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2023.

Dia ketika ini sedang menjalani hukuman penjara selama 1 tahun 7 bulan, tidak menyangka mendapat keputusan seperti itu walaupun berdepan kesukaran sepanjang menjalani hukuman di dalam tirai besi.

Katanya walaupun serba serbi kekurangan belajar di dalam penjara, tekad untuk mengubah nasib membuatkan dia berusaha gigih sehingga mendapat keputusan cemerlang.

“Kalau berbanding pelajar lain di luar sana, saya di sini tiada telefon tiada rujukan untuk mengulangkaji.

“Sangat sukar, tetapi apa yang boleh saya buat ialah berusaha bangun setiap malam, bertahajjud, solat hajat, serta berdoa dan fokus ketika belajar, selebihnya saya berserah kepada Allah”, katanya.

Seorang lagi rakannya, Asraf, 20 tahun, juga bukan nama sebenar yang sedang menjalani hukuman penjara 7 tahun, memperoleh keputusan 4A.

Dalam nada sebak, katanya keputusan yang diperolehi itu adalah hadiah buat kedua ibu bapanya.

Walaupun tidak memperolehi keputusan cemerlang seperti rakannya, dia tetap berbangga dan bersyukur.

“Sebagai seorang kawan saya bangga dengan kawan saya (Aiman) tu tapi saya tak pernah rasa cemburu, walaupun berbeza 8 dengan 4 tapi saya rasa itu dah cukup hadiah pada saya itu antara pemberian untuk keluarga pada ibu saya”, katanya.

Sementara itu Pengarah Penjara Marang, Mohamad Jusoh Ismail berkata keputusan peperiksaan kedua-dua banduan itu membuktikan tiada halangan untuk seseorang untuk berjaya walaupun di mana mereka berada asalkan berusaha dan fokus dengan matlamat .

“Kita bangga dengan pelajar kita di sini belajar penuh dengan kekangan masa terhad kemudahan terhad mereka boleh juga capai kejayaan walau bagaimanapun kejayaan tersebut kalau tak ada dorongan daripada cikgu mereka sendiri tak minat sukar nak capai keputusan seperti ini”, katanya.

Aiman dan Aysraf merupakan calon peperiksaan SPM dari Sekolah Integrasi Marang yang menduduki peperiksaan tahun lepas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini