comscore
Tumpuan :
Nasional

SPM 2023: Saya sedar saya OKU dan perlu berdisiplin – Pelajar Cemerlang

PASIR PUTEH: Meskipun berstatus sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal tangan kiri yang mengecil tidak mematahkan semangat Raja Amirul Mukmin Raja Safari, 18, mencipta sejarah buat dirinya apabila memperoleh keputusan cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan baru-baru ini.

Pelajar Sekolah Menengah Sains Machang yang mendapat keputusan peperiksaan SPM 8A 1B ini nekad mahu ke universiti bagi mengubah nasib keluarganya.

Raja Amirul Mukmin berkata walaupun dia bergelar OKU sejak lahir, ini membuktikan bahawa OKU juga boleh ‘sempurna’ dari segi aspek pembelajaran dengan menguasai semua mata pelajaran.

“Saya sedar saya OKU dan perlu berdisiplin serta memberi penumpuan lebih berbanding rakan-rakan normal terutama bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik Tambahan.

“Sebelum ini, untuk mentelaah pelajaran tidak sesukar mana tetapi apabila hampir dengan waktu peperiksaan sebenar, banyak dugaan antaranya rakan-rakan ajak bermain dan sebagainya di asrama,” katanya kepada pemberita di Kampung Gong Tengah, Cherang Ruku, di sini hari ini.

Raja Amirul Mukmin juga mengakui biarpun berada di asrama penuh dengan jadual padat, namun dia tetap mengagahkan diri untuk bangun mengulang kaji seawal 3 pagi.

Mengulas sama ada menerima tawaran penempatan universiti, beliau berkata setakat ini menerima tawaran zakat dari Tabung Amanah Zakat Universiti Teknologi Petronas.

“Alhamdulillah, saya ucapkan terima kasih atas tawaran berkenaan, tetapi saya berhasrat untuk menyambung pengajian di Universiti Islam Antarabangsa dalam bidang kimia,” katanya.

Sementara itu, wakil daripada Setiausaha Politik Perdana Menteri Zainuddin Ghazali berkata Kerajaan MADANI menyantuni pelajar OKU daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) yang mendapat keputusan cemerlang SPM.

“Kerajaan MADANI prihatin dari segi kebajikan dan akan mengikuti perkembangan semasa Raja Amirul Mukmin bagi memastikan keperluan pengajiannya dipenuhi sehingga tamat belajar,” katanya.

Terdahulu, Raja Amirul Mukmin dikunjungi wakil Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pendidikan Khas Jabatan Pelajaran Kelantan Saipul Bahari Ab Manaf. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini