ALOR SETAR: Keputusan meneruskan jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dibuat selepas mengambil kira tahap kesiapsiagaan semua pihak terbabit dalam menghadapi bencana banjir sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) sehingga Mac tahun depan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata ia termasuk soal menjaga kebajikan calon SPM supaya dapat menduduki peperiksaan dengan selamat.
Katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus mengaktifkan Op Payung bagi menangani semua isu berkaitan persekolahan, peperiksaan dan banjir.
“Kita berdoa supaya tidak berlaku perkara tidak diingini dan saya tegaskan bahawa Op Payung diaktifkan.
“Ini bermakna persiapan kita ini bukan sahaja soal keselamatan, kebajikan tetapi secara keseluruhan termasuk peperiksaan SPM itu.
“Kita sudah bersedia melaksanakannya dari hari pertama peperiksaan tempoh hari.
“Ujian itu akan terus kita pastikan dan pantau dengan ketat untuk memastikan anak kita dapat menghadapi peperiksaan dengan selamat dan Op Payung bersedia setiap masa,” katanya.
Beliau ditemui selepas meninjau sekolah terjejas banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gunong di sini, hari ini
Fadhlina berkata, semua jentera termasuk di peringkat agensi KPM bersedia menggerakkan Op Payung pada bila-bila masa.
“Kita bersiap sedia untuk apa sahaja kemungkinan dan semua pegawai semua jentera peringkat agensi bersedia.
“Insya-Allah kita mengharapkan sesi ini dapat berlangsung dengan baik selepas ini.
“Kita juga membuat persiapan sekiranya gelombang kedua, ketiga sebagaimana dipersiapkan minda dan emosi kita oleh pihak METMalaysia untuk berhadapan gelombang selanjutnya,” katanya.
Calon SPM di seluruh negara akan memulakan ujian amali Sains esok sehingga 12 Disember ini sebelum ujian bertulis pada Januari depan.
METMalaysia meramalkan lima hingga tujuh gelombang hujan lebat membadai seluruh negara sepanjang MTL sehingga Mac tahun depan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.