comscore
Tumpuan :
Nasional

SPR belum terima petisyen PRK KKB

FOTO: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum menerima sebarang petisyen yang mencabar keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, kata Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom.

“Setakat ini, tiada (terima petisyen),” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat khas di Menara SPR, di sini bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkaitan PRK DUN Sungai Bakap, Pulau Pinang hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyatakan Perikatan Nasional (PN) akan mengemukakan petisyen pilihan raya sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi DUN Kuala Kubu Baharu.

PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei lalu memperlihatkan PH mempertahankan kerusinya selepas calonnya Pang Sock Tao, menang dengan majoriti 3,869 undi, menewaskan pencabarnya dari PN, Khairul Azhari Saut; calon BEBAS, Nyau Ke Xin dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainuddin.

Susulan itu, Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilapor berkata, PN sedang mengumpulkan fakta dan bukti salah laku dalam PRK tersebut sebelum mengemukakan petisyen kepada SPR.

Jelasnya, arahan berkenaan dikeluarkan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada semua Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi mengumpulkan fakta sebelum disemak peguam.

Dalam perkembangan berkaitan, ditanya mengenai perkembangan proses kajian persempadanan semula di Sarawak, menurut Azmi, beliau enggan mengulas lanjut kerana SPR belum mengadakan perbincangan lagi.

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh dilapor berkata, proses kajian persempadanan semula oleh suruhanjaya terbabit di Sarawak telah bermula tahun lalu manakala di Sabah pada 2025, dan di Semenanjung Malaysia pada 2026.

Menurutnya, bagi melaksanakan proses berkenaan, SPR akan membuat kajian dalam tempoh dua tahun dan selepas tempoh itu, satu laporan yang mengandungi penemuan-penemuan SPR akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini