comscore
Tumpuan :
Nasional

SPR disaran buka pusat pengundian khas di Singapura

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Johor, Datuk Seri Salahuddin Ayub membuat saranan itu agar ia memudahkan pengundi bekerja di republik keluar untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disaran membuka pusat pengundian khas di Pejabat Kedutaan Malaysia di Singapura.

Ini bagi memudahkan pengundi yang bekerja di republik itu untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata ini kerana ada hampir 200,000 orang pengundi yang bekerja atau menetap di Singapura pada masa ini, sekali gus ia adalah jumlah yang sangat signifikan.

Katanya, PH Johor menjunjung kasih dan menyokong titah Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, supaya rakyat Malaysia di Singapura menjalankan tanggungjawab untuk mengundi pada PRU-15 nanti.

“SPR perlu mengambil langkah segera dalam memudahkan pengundi yang berada di Singapura untuk keluar mengundi seperti titah Yang Di-Pertuan Agong.

“PH Johor menggesa SPR membuka pusat pengundian di Pejabat Kedutaan Malaysia di Singapura bagi memudahkan pengundi untuk keluar mengundi pada PRU-15 nanti.

“PH Johor juga menyarankan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memastikan kakitangan di setiap sempadan Johor-Singapura mencukupi bagi melancarkan pergerakan perjalanan keluar masuk pengundi yang pulang mengundi di kawasan masing-masing sama ada menjelang atau pada 19 November nanti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 27 Oktober lalu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilaporkan bertitah supaya rakyat Malaysia yang menetap di Singapura menunaikan tanggungjawab untuk mengundi pada PRU-15, 19 November nanti.

“Saya ingin mengingatkan tanggungjawab tuan-tuan dan puan-puan untuk mengundi pada pilihan raya umum yang akan datang walaupun (tinggal) jauh sikit tetapi hati mesti tetap menunaikan tanggungjawab yang lebih berhak sebagai pengundi,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada Majlis Santapan Malam bersama diaspora Malaysia ketika lawatan rasmi baginda ke Singapura minggu lalu.

Dalam pada itu,Salahuddin yang juga Naib Presiden PH dan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata, SPR juga perlu menjemput semua parti politik bagi membincangkan perjalanan PRU-15 dengan kadar segera.

“Kelewatan SPR menjemput parti politik dalam membincangkan perjalanan PRU-15 akan menjejaskan kelancaran dan ketelusan perjalanan pilihan raya umum itu.

“PH Johor juga menegaskan bahawa setiap langkah-langkah ini harus dilaksanakan secara telus, adil, dan terbuka.

“Kami percaya, sistem pilihan raya yang adil dan telus akan memudahkan pengundi Malaysia di Singapura untuk mengundi pada PRU-15 demi masa depan yang lebih baik buat tanah air tercinta,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini