comscore
Tumpuan :
Nasional

SPR seru majikan benarkan pekerja keluar mengundi bagi PRK DUN Sungai Bakap

Oleh: Selwam Arjunan

NIBONG TEBAL: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan majikan untuk membenarkan pekerja yang layak mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap untuk keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, kelulusan buat pekerja itu diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Para majikan diingatkan supaya membenarkan tempoh yang munasabah kepada pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi pada hari mengundi.

“Ia sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Pengundi adalah dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan digalakkan supaya keluar mengundi mengikut masa keluar mengundi yang digalakkan seperti mana yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak.

“Walau bagaimanapun, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari pukul 8 pagi hingga 6 petang atau mengikut waktu pusat mengundi diwartakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, seramai 552 orang petugas akan bertugas bagi proses pengundian.

Sebanyak sembilan pusat mengundi dan 65 saluran akan dibuka untuk tujuan pengundian.

“Pengundi juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama di saluran bagi memudahkan semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi.

“Semakan awal maklumat pengundian seperti maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan boleh dibuat melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7218 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

“Pengundi diingatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya,” tambahnya lagi.

SPR juga mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat pada pukul 11.59 malam ini (Jumaat).

“Selepas tempoh itu berakhir, semua pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi termasuklah di luar Pusat Mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, X (Twitter), Instagram, Tik-Tok dan lain-lain.

“Semua parti atau calon bertanding adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara barung pada hari mengundi kerana perkara tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” tegasnya.

Turut diberi peringatan, pengundi dilarang menggunakan telefon bimbit di bilik mengundi dan perlu meletakkan telefon bimbit di tempat yang telah disediakan setelah menerima kertas undi dan mengambilnya semula setelah selesai mengundi.

Selain itu, pemakaian atau membawa peralatan bersimbol parti dan berunsur kempen calon juga tidak dibenarkan.

“Semua pengundi, calon dan petugas yang ingin memasuki Pusat Mengundi pada Hari Mengundi dilarang memakai baju / topi / pelitup separuh muka (facemask) atau membawa material yang mempunyai nama / lambang/ simbol / gambar parti atau calon yang bertanding atau apa-apa bahan kempen serta sebarang tagline atau slogan kempen yang menjurus atau membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik.

“Kegagalan pengundi mematuhi atau melanggari peruntukan yang ditetapkan boleh menyebabkan pengundi dilarang dari memasuki Pusat Mengundi oleh petugas pilihan raya,” ujarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini