PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan tarikh-tarikh penting bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, Sarawak hari ini.
Mesyuarat khas membincangkan perkara itu diadakan bermula jam 10 pagi ini dipengerusikan Tan Sri Abdul Ghani Salleh yang juga pengerusi suruhanjaya itu di Menara SPR, Putrajaya.
Tan Sri Abdul Ghani kemudiannya dijadual mengadakan satu sidang media yang akan menentukan tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan PRK DUN itu.
Selasa lalu SPR memaklumkan telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar berhubung kekosongan luar jangka kerusi N67 Jepak, susulan kematian penyandangnya Datuk Talib Zulpilip pada 15 September.
Talib, 72, menghembuskan nafas terakhir di sebuah pusat perubatan di Kuching kira-kira jam 5.50 petang ekoran komplikasi buah pinggang.
Allahyarham ialah penyandang kerusi DUN Jepak di bawah Parlimen Bintulu selama enam penggal sejak 1996.
Pada 2009, beliau dilantik sebagai Menteri Muda Pelancongan dan Warisan Sarawak dan pernah menyandang jawatan Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Sarawak.
|ARTIKEL BERKAITAN