comscore
Tumpuan :
Nasional

SPRM akan guna teknologi, teknik baharu dalam siasatan – Azam

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ditemui selepas menjadi tetamu program Malaysia Hari Ini (MHI) di Sri Pentas, Bandar Utama di sini, semalam.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melakukan pelbagai perubahan termasuk menggunakan teknologi dan teknik baharu dalam siasatan.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, perubahan ini perlu untuk membanteras kegiatan rasuah yang semakin kompleks selaras perkembangan zaman dan teknologi masa kini.

“Kita kena berubah daripada apa yang kita ada dulu, saya juga sudah mengarahkan pegawai dan sedang dilakukan, iaitu kita meningkatkan dan memperkasakan teknik penyiasatan, perisikan serta teknik kita menganalisa sesuatu isu.

“Ini penting kerana sekiranya kita tidak membuat analisa, tidak membuat perisikan, sudah tentu siasatan tidak dapat membuktikan kes,” katanya.

Sebagai contoh, Azam berkata, SPRM menggunakan teknologi tertentu dalam perisikan untuk membuat pengesanan dan pengesahan tanpa menggunakan sumber manusia terlebih dulu, yang lebih menjimatkan masa serta kos.

“Kedua, dari segi penyiasatan kita lebih bersistematik sekarang menggunakan undang-undang sedia ada dengan penggunaan ‘team basic investigation’ dan sebagainya.

“Ia juga membabitkan pakar kami sendiri daripada ‘teknologi forensik’, ‘forensic accounting’ dan semua ini digabungkan dalam satu ’round table’ untuk memastikan sesuatu tindakan itu dapat dihasilkan dengan berkesan,” katanya.

Azam berkata, SPRM kini dapat menyiapkan siasatan kes dengan lebih cepat berbanding dulu, malah tindakan yang diambil juga lebih berkesan.

“Kita juga melihat bagaimana harta penjenayah ini dapat dikembalikan atau dilepaskan untuk dimasukkan balik kepada hasil negara dengan satu matlamat supaya penjenayah ini tidak boleh ‘enjoy’ daripada harta yang dicuri mereka.

“Malah, kalau boleh kita bankrapkan mereka ini daripada menikmati harta berkenaan,” katanya.

Mengulas sambutan ulang tahun ke-57 SPRM hari ini, Azam berkata, beliau menggesa semua warga SPRM menanamkan iltizam baharu untuk meningkatkan lagi usaha mencegah dan memerangi rasuah serta mempunyai perasaan kekal relevan di mata masyarakat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini