comscore
Tumpuan :
Nasional

SPRM akan panggil salah seorang bekas PM beri keterangan – Azam Baki

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM, Tan Sri Azam Baki berucap di Program Simposium Tatakelola Baik Nasional 2024 di Sepang. – Foto NSTP.

SEPANG: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya akan memanggil salah seorang bekas Perdana Menteri memberi keterangan berhubung perbelanjaan dana RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti dalam minggu ini atau selewat-lewatnya minggu depan.

Beliau berkata, turut akan dipanggil pegawai di pejabat bekas Perdana Menteri berkenaan yang terbabit dengan perbelajaan dana berkenaan.

“Tidak kurang daripada empat orang akan dipanggil (memberikan keterangan) dan salah seorang daripada dua bekas Perdana Menteri dipanggil memberikan keterangan,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai perkembangan kes siasatan SPRM terhadap proses dan tatacara perbelanjaan kerajaan antara tempoh 2020 hingga 2022, yang menggunakan dana RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti.

Sebelum ini dilaporkan Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan siasatan berhubung perkara itu masih dijalankan.

SPRM juga mengesahkan sedang mendapatkan beberapa dokumen daripada Kementerian Kewangan, MOF dan Jabatan Perdana Menteri, JPM berhubung kes itu.

Ia untuk meneliti bagaimana kelulusan serta perbelanjaan dana kerajaan berjumlah RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti itu dikeluarkan. – Wires NSTP.

Loading...
Terkini