PETALING JAYA: Dua pegawai penguatkuasa yang dipercayai menjadi dalang dalam sindiket ‘counter setting’ akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya bercadang untuk mengemukakan pertuduhan itu, sama ada pada bulan ini atau awal tahun depan.
“Ia bergantung kepada Timbalan Pendakwa Raya SPRM. Jika dapat dituduh, pada Disember ini. Jika tidak boleh dituduh, mungkin pada awal tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2024 di sini, hari ini.
September lalu, 50 pegawai Imigresen disyaki terbabit dalam sindiket ‘counter setting’ dan menyenaraikan 11 isu sehingga membuka ruang sindiket membawa masuk warga asing menggunakan modus operandi itu.
Antara masalah atau kelemahan disenaraikan termasuk kelonggaran aspek kawalan dalaman ketika bertugas yang menyebabkan pegawai Jabatan Imigresen mudah didekati ejen sindiket.
Sementara itu, Azam memuji tindakan yang diambil Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berhubung langkah tambahan bagi membanteras “counter setting”, seperti yang dilaporkan BH, hari ini.
Azam berkata, beliau dan Zakaria juga beberapa kali berbincang mengenai inisiatif yang diambil jabatan itu, antaranya menubuhkan pasukan pemantau untuk membuat semakan rambang terhadap kakitangan yang bertugas di kaunter dan pengembara asing.
“Hari ini ada keluar artikel di Berita Harian mengenai inisiatif terbaharu pihak imigresen ini dan kami amat mengalu-alukan serta menyokong tindakan Ketua Pengarah ini.
“Beliau mempunyai iltizam untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dan integriti dalam kalangan pegawai berkenaan kerana maklumlah, mereka duduk di “checkpoint” KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) yang menjadi barisan hadapan dan perlu menunjukkan tauladan yang baik serta sistem penyampaian juga mestilah berkelas tinggi,” katanya.
Antara tindakan lain yang diambil Jabatan Imigresen, termasuk pemasangan pagar automatik di semua kaunter manual pemeriksaan imigresen dan pemasangan litar tertutup (CCTV) di setiap bilik kecil agensi itu di pintu masuk utama negara bagi memudahkan pemantauan dilakukan terhadap anggota imigresen yang bertugas.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.