Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan peranan pentingnya dalam membantu pihak berkuasa Singapura menahan seorang taikun berprofil tinggi yang telah melarikan diri selama 19 tahun.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, operasi itu bermula apabila Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) Singapura mengemukakan permohonan bantuan kepada suruhanjaya berkenaan bagi mengesahkan dan mengesan suspek-suspek yang terlibat.
Jelasnya, Pengarah CPIB telah melawat ibu pejabat SPRM untuk membincangkan kes ini secara terperinci pada April lalu.
Susulan mesyuarat tersebut, CPIB menghantar permohonan rasmi untuk pelaksanaan waran tangkap di bawah Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002 [Akta 621] dan Akta (Peruntukan-Peruntukan Khas) Saman dan Waran 1971 [Akta 25].
“Sebelum pelaksanaan waran, pasukan risikan SPRM telah mengumpulkan maklumat penting termasuk foto pemantauan dan butiran peribadi suspek.
“Analisis lanjut oleh CPIB menggunakan teknologi pengecaman wajah menunjukkan kemungkinan 70 peratus bahawa salah seorang individu adalah suspek yang dicari,” katanya.
Menurut Azam, dengan kerjasama SPRM, lokasi serta butiran peribadi suspek termasuk nombor pasport dan telefon berjaya dikesan.
Seterusnya, pejabat SPRM Johor telah melaksanakan tangkapan tersebut yang menandakan kemuncak kepada operasi menyeluruh melibatkan pengumpulan risikan, pemantauan dan kerjasama erat antara agensi.
“Operasi ini menunjukkan komitmen SPRM, melalui Cawangan Bantuan Bersama Siasatan Luar Negara (FOMIA) terhadap kerjasama antarabangsa dalam memerangi rasuah dan jenayah rentas sempadan.
“Ia sekali gus menunjukkan kepentingan perkongsian maklumat risikan, pemantauan serta kolaborasi agensi dalam menegakkan keadilan,” katanya.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan, selepas hampir dua dekad hidup dalam pelarian, usahawan Singapura, Ng Teck Lee yang terlibat dalam kes penyelewengan dana bernilai SGD$72 juta, akhirnya ditahan bersama isterinya, Thor Chwee Hwa di Johor Bahru, Johor semalam.
Difahamkan, pasangan tersebut telah melarikan diri sejak 2005 selepas Teck Lee, bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat kitar semula Citiraya Industries yang kini telah gulung tikar, didakwa menyalahgunakan dana sebanyak AS$51 juta (sekitar SGD$72 juta ketika itu).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.