comscore
Tumpuan :
Nasional

SPRM benarkan lanjutan tempoh pengisytiharan harta kepada Mirzan, Mokhzani Mahathir

Tan Sri Mokhzani Mahathir (kiri) dan Mirzan Mahathir.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi penambahan tempoh kepada dua anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengisytiharkan harta mereka.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pensuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki ketika ditemui media hari ini.

Jelasnya, persetujuan telah dicapai di antara pegawai penyiasat SPRM dan peguam kedua-dua individu terbabit.

“Saya dah beritahu dua hari lepas perkembangnya di mana pihak peguam Mirzan dan Mokhzani Mahathir telah berhubung dengan pegawai penyiasat saya dan kita telah tetapkan tempoh tarikh untuk mereka isytiharkan.

“Kita dah bersetuju dengan itu saya bagi penambahan tempoh untuk mereka isytiharkan harta mereka kedua-dua mereka ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majis Prapelancaran Projek Penerbitan dan Program Penerapan Nilai Intergriti (Antirasuah) Usaha Sama SPRM-ITBM di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.

26 April lalu, media melaporkan SPRM sekali lagi memberi tempoh lanjutan 30 hari bagi kedua individu berkenaan untuk mengisytiharkan harta milik mereka.

Ia susulan notis mengisytiharkan harta diserahkan kepada kedua-dua ahli perniagaan itu 18 Januari lalu mengikut Seksyen 36 Akta SPRM 2009.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini