comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] SPRM buka kertas siasatan dakwaan PN terima dana judi

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka kertas siasatan untuk meneliti dokumen yang diterima dalam satu aduan berhubung dakwaan Perikatan Nasional (PN) menerima dana wang judi ketika pilihan raya umum (PRU) sebelum ini.

Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan siasatan menyeluruh sedang dijalankan.

“Siasatan itu termasuk mengenal pasti dan menyiasat latar belakang syarikat-syarikat yang dinyatakan dalam aduan,” katanya kepada Buletin TV3.

Pada 30 Mei lalu, seorang individu tampil membuat laporan kepada SPRM dengan mengemukakan dokumen tertentu, menggesa siasatan terhadap dakwaan PN menerima dana daripada syarikat perjudian yang juga digunakan untuk kempen PRU.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata, beliau tidak akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu kemungkinan PN menggunakan wang judi pada PRU-15 jika tidak mempunyai sebarang asas berhubung perkara itu.

Foto hiasan

Menurutnya, siasatan terhadap dakwaan itu masih lagi berjalan melibatkan pelbagai agensi.

Beliau juga enggan membuat permohonan maaf seperti yang dituntut Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Baca kenyataan dengan lengkap dan baru ambil tindakan. Tetapi kalau dia (Muhyiddin) nak bawa terus (ke mahkammahkamah), silakan. Saya tidak akan keluar kenyataan kalau saya tiada asas,” kata Anwar.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan, jawapan bertulis beliau di Dewan Rakyat mengenai siasatan berhubung dakwaan ada parti komponen PN mendapat sumbangan dana judi semasa kempen PRU lalu, tidak menyatakan  siasatan itu sudah dihentikan atau digugurkan.

Jawapan Azalina menyatakan SPRM telah menjalankan kajian terperinci berkaitan maklumat itu namun mendapati ia terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu berkenaan justeru, tiada apa-apa fail siasatan dibuka.

Loading...
Terkini