comscore
Tumpuan :
Nasional

SPRM cadang pegawai Imigresen bertugas di kaunter KLIA1, KLIA2 dilarang bawa telefon bimbit 

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Pegawai Imigresen termasuk penyelia di kaunter Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1) dan Terminal 2 (KLIA2) dicadang tidak dibenarkan membawa telefon bimbit ketika bertugas.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, itu antara cadangan penambahbaikan yang perlu diambil Jabatan Imigresen (JIM) bagi memastikan sindiket menyeludup warga asing melalui laluan kaunter khas (counter setting) tidak berulang.

“(Cadangan ini) bagi mengelakkan mereka mudah dihubungi oleh pihak lain. Selain itu, perlu diwujudkan jaringan perhubungan komunikasi lain sepanjang bertugas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.

Selain itu, SPRM turut mencadangkan jadual penetapan pegawai di kaunter dibuat ketika pegawai masuk bertugas dan sudah berada di zon kaunter yang perlu dilakukan oleh pihak lain.

“Banyak lagi perkara perlu dilihat JIM termasuk pemilihan pegawai, kaedah bekerja dan cara untuk mengatasi isu rasuah.

“Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) akan membuat penyiasatan lanjut yang mengambil tempoh dua bulan untuk melihat keseluruhan proses kerja dan mencadangkan kepada JIM dan Kementerian Dalam Negeri bagi penambahbaikan proses kerja,” katanya.

Mengulas lanjut, menurut Azam, penambahbaikan itu susulan SPRM mengenal pasti 11 masalah dan kelemahan utama membabitkan JIM sehingga membuka ruang kepada sindiket terbabit.

Jelasnya, masalah utama yang dikesan adalah disebabkan kelonggaran dalam aspek kawalan dalaman ketika bertugas yang menyebabkan pegawai Imigresen mudah didekati oleh ejen sindiket.

Kelemahan lain ialah pusingan tempat kerja bagi pegawai Imigresen yang bertugas di KLIA1 dan KLIA2 tidak sistematik.

“Pusingan kerja tidak sistematik ini menyebabkan pihak ejen dan sindiket senang untuk berurusan dengan pegawai penyelia mahupun pegawai yang menjaga kaunter.

“Ini kerana mereka terlebih dahulu mengetahui pegawai ini akan bertugas di kaunter mana dan akan berlakunya ‘counter setting’,” katanya.

Selain itu, SPRM turut mengesan kelemahan dari aspek kurang pemantauan dan penyeliaan sehingga menyebabkan wujud kelompangan dalam kaedah kerja.

Azam berkata, sistem pemeriksaan ke atas kemasukan warga asing juga mudah untuk dimanipulasi dan susah untuk membuat semakan semula.

“Kelemahan lain ialah terlalu selesa dan lama bertugas di lokasi yang sama, persekitaran tempat kerja di pintu masuk KLIA1 dan KLIA2 itu sendiri di mana dikesan terdapat pegawai Imigresen yang turut memberi dan membayar rasuah dalam kalangan pegawai Imigresen sendiri.

“Siasatan turut mendapati wujud amalan dalam pegawai Imigresen yang menerima rasuah bagi melepaskan warga asing yang tidak menepati syarat kemasukan,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya mengesan tiada prosedur operasi standard (SOP) serta pengawasan yang ketat dan JIM perlu bertanggungjawab membuat operasi besar-besaran menahan pendatang asing tanpa izin.

“Tiada pemantauan dan tapisan pihak ketiga membabitkan semakan dokumen tiket pulang serta penginapan sepanjang tempoh berada di Malaysia manakala masalah terakhir yang dikesan adalah kerana habuan rasuah yang lumayan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini