Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) termasuk pihak berkuasa Australia bagi menjejaki keberadaan Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan yang juga menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini masih belum terdapat sebarang perkembangan siasatan tersebut.
“(Dia) masih bebas (di luar negara), kita mendapatkan bantuan daripada banyak negara lain yang kita ada rangkaian seperti INTERPOL dan lain-lain,” katanya yang ditemui selepas menghadiri Hari Integriti Kementerian Komunikasi dan Digital, di sini hari ini.
Azam sebelum ini dilaporkan berkata, Muhammad Adlan, 48, dan seorang peguam, Mansoor Saat, 69, dikehendaki tampil ke SPRM bagi tujuan pendakwaan kes rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.
Sementara itu, sumber dipetik sebagai berkata, keberadaan kedua-dua individu tersebut masih belum dapat dikesan meskipun mereka dipercayai pernah berada di New Zealand selepas meninggalkan negara ini Mei lalu atas urusan perniagaan.
Jelas Azam, Muhammad Adlan dan Mansoor akan dihantar pulang ke tanah air sekiranya menerima maklumat daripada pihak penguatkuasa antarabangsa.
“Kita akan memohon pertolongan daripada pihak tersebut seperti Interpol untuk membantu penghantaran pulang mereka ke Malaysia,” katanya.
Ditanya jika beliau mengetahui keberadaan Muhammad Adlan, jawab Azam : “Perkara itu biar saya simpan di dada.”
Mengulas mengenai cadangan penubuhan jawatankuasa bagi menyiasat aduan dibuat terhadap pegawai SPRM akibat dakwaan salah laku, menurut Azam, panel jawatankuasa bebas sedia ada sudah memadai.
Tegasnya, ketika ini suruhanjaya itu dipantau oleh lima panel bebas termasuk Jawatankuasa Aduan (JKA) SPRM yang sudah lama diwujudkan untuk menyiasat mana-mana pegawai SPRM.
Bagaimanapun, bagi kes jenayah, ia di bawah bidang kuasa polis.
“Pada saya (panel jawatankuasa bebas) yang ada sekarang ini sudah memadai yang mana sekiranya berlaku salah laku, kita sudah lama ada jawatankuasa bebas untuk siasat pegawai SPRM,” katanya.
Semalam, Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo, ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa bertanya bila kerajaan akan menubuhkan jawatankuasa bagi menyiasat aduan terhadap pegawai SPRM yang didakwa akibat salah laku.