PUTRAJAYA: Beberapa transaksi akaun meragukan dikesan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta yang dialami Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam FashionValet.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata transaksi meragukan itu dikesan sejak 2018 hingga tahun lalu berdasarkan siasatan yang dijalankan setakat ini.
“Pasukan siasatan setakat ini merumuskan terdapat transaksi akaun meragukan daripada sebuah syarikat (dikaitkan dengan pasangan pengasas FashionValet) dan beberapa pihak lain yang disiasat.
“Kita juga berjaya mengesan beberapa transaksi kewangan mencurigakan. (Transaksi mencurigakan) ini bermula dari 2018 hingga 2023,” katanya ketika dihubungi malam ini.
Azam berkata, setakat ini pihaknya sudah merampas kira-kira 60 kotak mengandungi pelbagai dokumen daripada FashionValet, Khazanah dan PNB bagi membantu siasatan.
Jelasnya, bahagian forensik perakaunan SPRM masih menjalankan semakan terhadap semua dokumen yang diperoleh itu.
“Kita melihat kepada aliran punca kewangan dan sebab kemasukan dan ke mana wang itu dibelanjakan bagi melihat adakah terdapat unsur jenayah rasuah atau kesalahan lain membabitkan penipuan.
“Namun, kita percaya ada sebahagian pelaburan (diterima) yang disalahguna dalam hal ini, ini kita sedang kenal pasti,” katanya.
Beliau berkata, SPRM kini dalam peringkat mengesan barangan milik pasangan pengasas FashionValet yang pernah ditunjukkan dalam media sosial sebelum ini.
“Mereka perlu memberi kerjasama bagi mengenal pasti barangan yang ditunjukkan sebelum ini dalam media sosial,” katanya.
Ditanya sama ada pasangan itu akan ditahan, Azam berkata, pihak tidak akan berbuat demikian buat masa ini kerana mereka memberi kerjasama penuh kepada SPRM.
Terdahulu, pasangan pengasas platform e-dagang itu, Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar hadir di Ibu Pejabat SPRM di sini, untuk direkod keterangan.
Semalam, SPRM menggeledah kediaman pasangan berkenaan dan menyita 11 beg tangan serta seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000.
Malah, SPRM membekukan beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik pengasas terbabit.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.